GEORGE TOWN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijangka mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin kerajaan Pulau Pinang esok, termasuk Timbalan Ketua Menteri II P Ramasamy.
Ketika mendedahkan perkara tersebut kepada pemberita, Ramasamy berkata, pertemuan beliau dengan SPRM dijangka berlangsung di pejabatnya di bangunan Kompleks Tun Abdul Razak di sini pada 9.30 pagi.
Katanya, beliau difahamkan SPRM akan turut bertemu dengan Ketua Menteri Chow Kon Yeow, Timbalan Ketua Menteri I Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dan Exco negeri Zairil Khir Johari.
“Sebelum ini, saya pernah dipanggil oleh SPRM untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan kes terowong dasar laut pada 2018, namun ia terhenti.
“Bagaimanapun kerajaan baru sekarang ingin melihat perkara itu kembali,” katanya pada sidang media pengumuman penganjuran Ekspo Pendidikan dan TVET Pulau Pinang secara dalam talian 2020 hari ini.
Ramasamy berkata, sekiranya pertemuan itu mempunyai kaitan dengan isu rasuah projek mega terowong dasar laut, beliau akan memberi kerjasama dan menerima kedatangan SPRM dengan hati terbuka.
Semalam, Chow memaklumkan kerajaan negeri menerima surat daripada SPRM untuk menemu bual beberapa Exco dan pemimpin negeri berhubung isu terowong dasar laut itu.
Bekas pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang Jeffrey Chew Gim Eam direman selama 4 hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes SPRM.
Difahamkan penahanan Chew adalah berkaitan siasatan kes rasuah projek terowong dasar laut Pulau Pinang yang bernilai RM6.3 bilion.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan