Ahad, 19 Julai 2020

Sempat kirim gambar sebelum terjun bangunan

Erika George

MANGSA disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada kepala dan belakang badan. FOTO ihsan polis

SEORANG lelaki sempat mengirim gambar tempat dia bakal membunuh diri kepada keluarga sebelum terjun dari tingkat empat sebuah pusat membeli-belah di Miri, malam tadi.

Sumber berkata, mangsa yang juga lelaki tempatan berusia 19 tahun mengirim gambar lokasi kejadian sebelum terjun dari bangunan terbabit pada jam 8.05 malam.

Ahli keluarga yang bimbang sesuatu buruk menimpa lelaki itu yang mempunyai masalah kemurungan bergegas ke lokasi kejadian namun mangsa sudah meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Lim Meng Seah berkata, mangsa dijumpai terbaring pada belakang bangunan pusat membeli-belah itu dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan paramedik Hospital Miri akibat kecederaan parah pada kepala dan belakang badan.

"Pemeriksaan ke atas tubuh mangsa mendapati tidak terdapat sebarang unsur jenayah," katanya.

Difahamkan sebelum itu, mangsa dilihat oleh pengawal keselamatan pusat membeli-belah terbabit berada di tingkat empat bangunan terbabit pada jam 7.30 malam.

Kes diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut (SDR).

Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Miri untuk bedah siasat.

Tiada ulasan: