Isnin, 20 Julai 2020

JKNP cari makcik tular

Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

GAMBAR wanita yang tular di media sosial. FOTO tular

JABATAN Kesihatan Negeri Perak (JKNP) sedang mengesan wanita yang gambarnya makan di sebuah medan selera sambil memakai gelang pengesanan kuarantin Covid-19 yang tular di media sosial.

Pengarahnya, Datuk Dr Ding Lay Ming berkata, tindakan serta-merta diambil pihaknya bagi menyiasat perkara itu sejurus ia tular.

"Pihak JKNP sedia maklum isu yang sedang tular berkenaan iaitu mengenai Individu Di Bawah Pengawasan (PUS) yang gagal mematuhi arahan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian Di Rumah (HSO) di rumah masing-masing.

"Jika (hasil siasatan) didapati berasas, tindakan sewajarnya termasuk perundangan akan diambil terhadap wanita itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai respon daripada tindakan wanita terbabit yang tular hari ini, selepas dikatakan menikmati hidangan di sebuah medan selera yang difahamkan di Bandar Meru Raya di Ipoh.

Tiada ulasan: