Rabu, 15 Julai 2020

‘Saifuddin memang tak boleh harap’

Athirah Huda Zalhe


Tugas puji kerajaan tangani COVID-19 patut jadi tanggungjawab Kementerian Komunikasi

BANGI – Apa yang Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah buat, sehinggakan tugas yang menjadi tanggungjawab kementeriannya diambil alih pihak luar, soal Naib Presiden Barisan Jemaah Islamiyah Se-Malaysia (BERJASA), Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman.

Beliau berkata, rakaman video oleh seorang Youtuber luar negara, Dustin Pfundheller yang memuji tindakan pantas Malaysia memerangi COVID-19 sepatutnya diterbitkan oleh kementerian yang diketuai Saifuddin. 

Malah, Saifuddin sebagai menteri, sepatutnya cepat membuat penerangan balas terhadap sebarang manipulasi maklumat atau laporan berkaitan cara Malaysia menguruskan wabak, sebagaimana yang dilaporkan dalam dokumentari agensi antarabangsa, Al-Jazeera.

“Tetapi Saifuddin sibuk marah staf penyiaran TV Bernama. Segala kemudahan dan teknologi untuk buat dokumentari ada di kementerian. 

“Saifuddin memang tak boleh diharap. Dia hanya tahu melompat parti beberapa kali demi memenuhi hawa nafsu rakusnya,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

18 Mei lalu, Pfundheller dalam video bertajuk ‘How Malaysia Did the Impossible’ menyenaraikan bagaimana kerajaan dan rakyat Malaysia bekerjasama memerangi COVID-19 dan menjaga kebajikan orang ramai.

Ia berjaya menarik tontonan lebih 3.2 juta, namun Facebook telah menyekat capaian video dan iklan di halaman berkenaan tanpa sebab.

Video itu ternyata bertentangan dengan laporan dokumentari yang diterbitkan Al-Jazeera bertajuk ‘East 101: Locked Up in Malaysia’s Lockdown’.

Saifuddin turut mencetuskan kemarahan ramai apabila mengecam tindakan pengacara program bual bicara Bernama TV, Herleena Pahlavy yang menggelar Al Jazeera sebagai Al Jahiliah.

Beliau menerusi Twitternya berkata, Herleena tidak patut menggelar stesen televisyen antarabangsa itu ‘jahil’ walaupun tidak bersetuju dengan laporan mengenai layanan Malaysia terhadap pendatang asing ketika menangani COVID-19.

“Kita tak setuju dengan satu laporan saluran berita itu (Al-Jazeera). Tapi kita tak boleh menggelarnya dengan panggilan itu. Saya dimaklumkan oleh pengerusi Bernama yang tindakan telah diambil,” tulis Saifuddin.

Tiada ulasan: