Ahad, 12 Julai 2020

Saifuddin hanya berani hukum Herleena, bacul dengan Al Jazeera

ainulillia


Tidakkah perbuatan Saifuddin beri ruang PH menyerang kerajaan PN?

BANGI – Apakah motif sebenar tindakan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah yang dilihat seolah-olah membela agensi berita antarabangsa Al Jazeera?

Demikian persoalan dibangkitkan Ketua Media MUAFAKAT, Haji Rashidi Haris ekoran keputusan menteri itu mengambil tindakan terhadap pengacara program bual bicara Bernama TV, Herleena Pahlavy yang meluahkan ketidakpuasan hati atas laporan berat sebelah Al Jazeera.

Rashidi berkata, Saifuddin sepatutnya mengambil tindakan terhadap Al Jazeera, menangkis dan membidas dokumentari yang berniat jahat itu, bukannya mengenakan tindakan terhadap Herleena.

“Bukankah kelantangan Harleena Pahlavy harus dipuji kerana itu menggambarkan jiwanya mempunyai semangat patriotik yang tinggi.

“Tidakkah perbuatan Saifuddin itu selaras dengan keinginan pihak Pakatan Harapan yang sememangnya mencari-cari ruang untuk menyerang kerajaan Perikatan Nasional?,” soalnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Lebih menghairankan, kata Rashidi, terdapat beberapa pemimpin dari Pakatan Harapan (PH) yang mahu mengambil kesempatan menunjukkan sokongan terhadap Al Jazeera dengan mengatakan kerajaan bersikap tidak adil terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Mereka berhujah kononnya PATI perlu diberi keadilan atas dasar kemanusiaan dan hak asasi. Walhal pada hakikatnya jika bertaraf PATI, tiada hak bagi mereka untuk ditegakkan hak asasi kerana telah masuk ke negara ini secara haram,” katanya lagi.

Dalam isu ini, beliau berkata, MUAFAKAT memprotes sekeras-kerasnya tindakan Al Jazeera menyiarkan dokumentari kontroversi yang mendakwa berlaku penganiayaan terhadap PATI di Malaysia. 

“MUAFAKAT turut mendesak supaya tindakan tegas diambil terhadap individu yang memberi laporan dan maklumat mengenai Malaysia iaitu Md Rayhan Kabir seorang rakyat Bangladesh. 

“Seterusnya, MUAFAKAT juga menuntut Al Jazeera beserta individu-individu terbabit membuat kenyataan terbuka memohon maaf,” tegasnya.

Mengulas lanjut, Rashidi berkata, tuntutan pihak Al Jazeera sebagai kebebasan akhbar dengan kenyataan berikut; ‘to respect media freedom and desist from treating its journalists as criminals’ ternyata alasan semata-mata. 

Bahkan, katanya, ia meleset dengan istilah kebebasan yang diperjuangkan kerana ia bukan bererti bebas melaporkan berita yang menghina. 

“Akhir sekali, sebagai rakyat Malaysia tanpa mengira agama, bangsa atau dari parti mana sekali pun harus mempunyai semangat patriotik cintakan tanah air dan berani bercakap benar dalam menegakkan kebenaran dan keadilan

“Rakyat harus meletakkan kecintaan kepada negara itu mengatasi kecintaan kepada parti. Rukun Negara harus menjadi landasan dalam memberi ketaatan dan kesetiaan,” katanya.

Tiada ulasan: