Isnin, 6 Julai 2020

Putrajaya perlu sambung tempoh tangguh bayar pinjaman - Lim

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng menyarankan supaya Putrajaya menyambung penangguhan bayaran pinjaman yang akan berakhir pada akhir September.

Katanya, ketika berhadapan keadaan ekonomi yang memburuk, orang ramai tidak bersedia untuk meneruskan pembayaran pinjaman mereka.

"Kadar pengangguran telah naik mendadak dari 3.2 peratus pada bulan Januari kepada 5 peratus pada bulan April 2020.  Kadar bulan April ini adalah yang tertinggi dalam beberapa dekad. 

"Ia akan naik lebih tinggi lagi kerana banyak syarikat masih lagi dalam proses memberhentikan pekerja mereka.

"Di kala keadaan ekonomi yang semakin teruk, ramai rakyat Malaysia dan banyak perniagaan tempatan tidak bersedia untuk menghadapi tamatnya tempoh moratorium ke atas bayaran balik pinjaman mereka," katanya pada suatu kenyataan hari ini.

Putrajaya telah mengenakan moratorium pinjaman selama enam bulan dari bulan April hingga September di mana peminjam tidak perlu membayar balik pinjaman mereka dalam tempoh ini.

Ini untuk membantu mereka mengatasi kemerosotan ekonomi yang disebabkan oleh pandemi Covid-19.

Lim, yang juga ahli parlimen Bagan berkata beliau berharap pemerintah kerajaan akan menyambung moratorium sehingga ekonomi pulih.

Beliau mencadangkan penangguhan bayaran pinjaman disambung untuk empoh enam bulan lagi sehingga akhir Mac 2021.

"Sebarang perlanjutan akan membantu rakyat biasa merancang obligasi kewangan mereka dengan lebih baik, dan meringankan sebarang kesukaran hidup.

"Tiada gunanya kita memufliskan sesiapa dan memburukkan kemelesetan ekonomi yang kita harungi bersama sekarang," katanya.

Tiada ulasan: