KUCHING: Kementerian Dalam Negeri akan menggunakan pendekatan baru untuk mengawal sempadan darat negara menerusi pelaksanaan pos kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) secara bergerak.
Menterinya, Hamzah Zainudin berkata ia merujuk sempadan Malaysia-Indonesia di Sarawak yang mempunyai banyak “laluan tikus” dan sering berubah-ubah.
“Saya perhatikan apabila kita membina pos kawalan PGA di sesuatu kawasan sempadan yang mempunyai laluan masuk ke negara ini, tidak lama selepas itu akan wujud ‘lorong tikus’ baru yang berubah mengikut kesesuaian pihak sebelah sana.
“Jadi, dengan pelaksanaan pos kawalan PGA bergerak ini, saya kira ia lebih mudah untuk pasukan keselamatan kita bergerak dan tentukan di mana pos kawalan bagi mengawal sempadan kita mengikut keadaan semasa,” katanya selepas melawat Sub Taktikal PGA Teluk Melano dekat sempadan Malaysia-Indonesia di sini semalam.
Beliau berkata, kemudahan lebih baik untuk PGA di Teluk Melano akan dilaksanakan di tanah berkeluasan kira-kira 4ha merangkumi sebuah bangunan, kuarters dan kemudahan jalan raya.
Katanya, sebuah Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) akan dibina serta dijangka siap tahun ini bagi melengkapi Teluk Melano yang mengalami transformasi kerana terdapat akses Lebuhraya Pan Borneo yang bakal menjadi tumpuan kedua-dua negara, selain merancakkan lagi sektor ekonomi di sini.
“Terdapat keseluruhan 21 projek yang sudah dan akan dijalankan di Sarawak yang melebihi RM700 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 dan semua projek itu akan siap menjelang 2020 dan sesudah itu, lengkaplah perjanjian kerajaan persekutuan dengan Sarawak.”
Beliau berkata, dalam perbincangannya bersama Ketua Menteri, Abang Johari Openg kelmarin, KDN akan meningkatkan keselamatan di pesisiran pantai Sarawak.
“Kita akan tengok secara terperinci cara untuk membantu industri perikanan Sarawak agar ia tidak diganggu nelayan asing yang berjaya membolosi perairannya.
“Ini membuktikan kerajaan persekutuan sentiasa menitikberatkan Sarawak serta menunaikan janjinya apabila kita mengadakan perbincangan antara kerajaan negeri dan pusat.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan