KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador berkata, siasatan berhubung kes kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim masih diteruskan dan saksi berkaitan akan dipanggil semula selepas mendapat arahan Jabatan Peguam Negara.
Beliau berkata, sebelum ini pihaknya menghantar kertas siasatan kes itu kepada Jabatan Peguam Negara, namun pihaknya diminta memperkemaskan lagi siasatan tersebut.
“Inilah yang sedang dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), sebelum ini saya dapati tindakan yang telah dijalankan begitu tersusun dan mematuhi SOP siasatan.
“Saya beri jaminan semua sudut kes ini akan disiasat sepenuhnya dan tidak akan menyembunyikan apa-apa fakta berkaitan dengannya,” katanya kepada Bernama semalam.
Beliau diminta mengulas cadangan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin agar polis memanggil semula semua saksi dalam kes kematian Adib bagi mengheret pelaku sebenar jenayah itu ke muka pengadilan.
Hamid berkata, pihaknya berdepan isu teknikal dan proses memburu saksi yang menjadi antara punca kes itu mengambil masa lama.
“Ada maklumat diterima tidak tepat dan tidak mendalam, ia sedikit sebanyak memperlahankan tindakan polis,” katanya.
Rabu lalu, Pengarah JSJ Bukit Aman, Huzir Mohamed mengesahkan pihaknya akan menyelesaikan segala tindakan dan arahan pihak pendakwa raya berhubung kes itu dalam waktu terdekat.
“Kita akan selesaikannya dalam tempoh terdekat ini dan akan berbincang semula dengan pihak peguam negara untuk tindakan seterusnya.”
Adib, 24, anggota bantuan kecemasan Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov 2018 dan meninggal dunia di Institut Jantung Negara selepas 21 hari menerima rawatan.
Pada 27 Sept tahun lepas, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Adib akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih 2 atau 3 individu tidak diketahui.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan