Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah menegaskan pendatang tanpa dokumen diperlakukan dengan adil oleh pihak berkuasa semasa wabak Covid-19.
Ini selepas Putrajaya pada 6 Julai lalu menuduh Al Jazeera melakukan "pembohongan" berhubung laporan kritikal mengenai penangkapan dan penahanan migran dalam menangani wabak tersebut di Malaysia.
Semasa taklimat media malam ini, Noor Hisham menolak berlakunya sebarang diskriminasi terhadap pendatang tanpa dokumen semasa prosedur ujian, kuarantin dan rawatan.
Beliau berkata, sebagai contoh, kerajaan telah melakukan ujian Covid-19 percuma untuk semua orang dan seterusnya menyediakan makanan kepada pendatang. Sekiranya ada pendatang yang didapati positif ketika berada di pusat tahanan, mereka dibawa ke hospital sementara yang dibina khas di Maeps, Serdang.
"Kami memperlakukan mereka secara saksama di hospital kami [...]
“Kerajaan menghabiskan berjuta-juta ringgit untuk membina hospital sementara bagi merawat pesakit dari pusat tahanan imigresen itu.
"Ini adalah inisiatif yang telah kami lakukan dan kami bersikap adil. Tidak ada diskriminasi ketika kami melakukan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) [...] ketika kami turun ke kawasan itu, siapa pun anda sama ada rakyat tempatan, warga asing, sah atau tidak sah - semuanya akan diuji,” katanya.
Noor Hisham juga mempertahankan tindakan pihak berkuasa menahan pendatang tanpa izin selama wabak itu, berkata langkah ini telah membantu "membendung" penularan wabak Covid-19 di pusat-pusat tahanan imigresen.
“Bolehkah anda bayangkan sekiranya (ada) wabak (dengan) 277 kes di dalam masyarakat dan bukannya di pusat tahanan?
“Hari ini, di pusat tahanan, kami sudah berjaya mengawal penularannya.
Tetapi jika ada 277 kes di kalangan orang ramai, lambat-laun mereka akan menjangkiti orang lain,” katanya.
Susulan serbuan terhadap pendatang tanpa izin, Malaysia mengalami lonjakan paling tajam dalam jangkitan, sebanyak 277 kes dalam masa satu hari dan kelompok baru di lima depot tahanan imigresen tersebut.
Dokumentari penyiasatan berjudul "Locked Up in Malaysia's Lockdown" disiarkan program 101 East terbitan Al Jazeera pada 3 Julai lalu, menyorot cara pendatang ditahan serta memaparkan keadaan tempat tinggal migran yang sempit.
Laporan Al Jazeera itu juga mempertanyakan jika tindakan keras sebegitu merupakan langkah "praktikal berdasarkan realiti untuk menangani wabak itu" atau pun tindakan "perkauman."
Sejak disiarkan, menteri dan netizen telah menggunakan media sosial mendakwa, laporan itu salah fakta.
Sejak itu polis mula menyiasat organisasi berita global yang berpusat di Qatar dan wartawannya berhubung laporan tersebut.
Sementara itu, Jabatan Imigresen telah mengumumkan pihaknya sedang mencari warga Bangladesh yang dipaparkan dalam laporan Al Jazeera.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan