Lanskap politik Malaysia menagihkan satu nafas baru. Kuasa ke-3 sedang bangkit dan kebangkitan itu tidak akan akan dapat dihalang.
Kita dapat nampak tanda-tanda kewujudan kuasa ini dengan kejayaan Parlimen Digital baru baru ini. Kebangkitan ini menjadi lebih marak berikutan masalah sistemik dalam politik lama yang dicengkam kuat oleh pemain-pemain politik sama sejak berdekad-dekad lalu.
Cengkaman kuku besi pemain lama menyukarkan idea baru menyerlah.
Kami anak-anak muda dari Challenger percaya pergolakan politik antara Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional membawa pelbagai impak negatif kepada dasar-dasar hak kebebasan asasi dan juga impak negatif ke atas imej negara tercinta.
Kelumpuhan institusi demokrasi dengan penukaran kerajaan Perikatan Nasional tanpa melalui pilihan raya dan ketiadaan perbahasan Parlimen, pelepasan tanpa perbicaraan individu berprofil tinggi yang dituduh menyeleweng wang rakyat dan dituduh membuat dan menerima rasuah, pemecatan individu-individu berkelayakan tinggi dari syarikat berkaitan kerajaan, dan juga perebutan kuasa pencalonan Perdana Menteri dalam Pakatan Harapan.
Semua insiden ini membuktikan terdapat masalah sistemik dalam latar politik lama negara.
Kami percaya sudah masanya untuk nafas baru dihembuskan dalam lanskap politik negara. Suara anak-anak muda dan wanita dalam politik perlu diangkat.
Jangan terus kekal di takuk lama. Berikan peluang kepada wajah-wajah baru dan ideologi politik baru menerajui pimpinan negara.
Malaysia adalah milik rakyat dan bukan hak mutlak pemimpin politik sedia ada. Kami melihat, kami mendengar, dan kami tidak takut bersuara.
Kuasa ke-3 perlu bangkit.
*Challenger Malaysia adalah perkumpulan orang muda.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan