Ahad, 19 Julai 2020

Jata Negara dalam kasut: Saifuddin mahu syarikat pengeluar dikenakan tindakan

BERNAMA

KUANTAN: Tindakan tetap perlu diambil terhadap syarikat kasut yang didakwa mencetak logo Jata Negara di bahagian dalam kasut keluarannya walaupun sudah membuat permohonan maaf secara terbuka atas kesilapan itu, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata, tindakan tegas perlu diambil kerana lambang kebesaran negara, termasuk Jata Negara mesti dihormati, selain kejadian itu yang kedua selepas kejadian hina Jata Negara dalam penerbitan sebuah buku, baru-baru ini.

“Bila buat silap, ia mesti disiasat dan kalau bersalah mesti dihukum setimpal. Jika tidak, mudah sangat untuk membuat silap dan kemudian minta maaf.

“Kes (hina Jata Negara dalam) penerbitan buku juga difahamkan masih dalam siasatan pihak berkuasa. Ini pun saya akan lihat dan majukan (kepada pihak berkaitan) supaya tindakan tegas diambil,” katanya kepada pemberita selepas meninjau kursus pembuatan biskut oleh ibu tunggal Parlimen Indera Mahkota di Gerai KRT Cenderawasih, hari ini.

Saifuddin yang juga ahli Parlimen Indera Mahkota berkata demikian ketika diminta mengulas gambar di bahagian dalam kasut yang mengandungi Jata Negara dan surat permohonan maaf bertarikh 17 Julai daripada syarikat terbabit yang tular di laman sosial.

Dalam pada itu, Saifuddin berkat,a Jabatan Penerangan sedang menghasilkan buku panduan penggunaan nama dan lambang negara yang akan diedarkan secara fizikal dan dalam talian, sebagai panduan kepada semua pihak, berkaitan termasuk orang awam.

Katanya, masih ada pihak yang tidak tahu penggunaan nama dan lambang negara, termasuk Jata Negara yang betul, selain ramai tidak menyedari kewujudan undang-undang khusus dalam perkara itu, iaitu Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963.

“Kita juga akan menerangkan tentang penggunaan Jalur Gemilang yang betul kerana ada masa kita masih tersilap. Sebagai contoh, boleh atau tidak kita menggunakan bendera untuk dijadikan pakaian? Ini antara perkara yang masih ramai tidak pasti.

“Perkara ini akan diselidik dengan teliti. Kita menggalakkan orang untuk memperagakan bendera, tetapi ia mesti dibuat dengan cara betul dan mematuhi etika,” katanya.

Tiada ulasan: