Selasa, 14 Julai 2020

Isu ‘gelap’ di Dewan Rakyat selesai

Muhammad Azizul Osman
MGF13072020_SIDANG-PARLIMEN_60-681x454
Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun

KUALA LUMPUR – Pembukaan hari kedua Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen Keempat Belas hari ini dimulakan dengan sedikit berbeza.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun yang memulakan sesi dewan hari ini memohon agar Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim meminta maaf ekoran berkata “gelap, tak nampak” semalam.

“Sebelum kita memulakan sesi pertanyaan-pertanyaan menteri (MQT), izinkan saya membincangkan dua perkara iaitu mengenai perkataan yang diucapkan oleh Ahli Parlimen Baling semalam yang bersangkutan dengan perkataan gelap dan memakai bedak.

“Saya telah meneliti handsard dan kejadian tersebut, saya mengambil keputusan bahawa perkataan tersebut adalah agak menyinggung dan mengarahkan Baling untuk memohon maaf dan menarik balik perkataan tersebut,” katanya di awal sesi pagi ini.

Akur dengan itu, Abdul Azeez bingkas bangun memohon maaf dan menarik balik perkataan itu.

“Saya akur, tapi izin saya jelaskan pertama sekali saya tiada sebarang niat untuk memanggil sesiapa. Dua tahun saya duduk di situ, sememangnya kawasan itu gelap, selalu tak dapat perhatian Datuk Speaker.

“Saya kata gelap, kawasan itu tak nampak. Bagi saya adalah penting untuk rakyat netizen di luar sana tahu saya tiada niat untuk panggil sesiapa gelap, kerana diri saya sendiri pun gelap.

“Tak ada sebab pun nak panggil orang gelap tapi saya tarik balik dan mohon maaf,” katanya.

Semalam, Dewan Rakyat menjadi kecoh selepas Abdul Azeez mencelah ketika Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto dengan berkata “gelap, tak nampak”.

Ketika itu Kasthuri sedang mempersoalkan berkenaan ketiadaan ahli Parlimen wanita yang diusulkan bagi menggantikan anggota Jawatankuasa Pemilih Parlimen.

Dalam pada itu, Kashturi hari ini gembira dengan tindakan Abdul Azeez yang bertindak menarik balik kenyataan itu selepas ditegur Azhar Azizan.

“Terima kasih huraian Datuk Speaker atas apa yang berlaku semalam, ia tak patut berlaku, telah berlaku dan pada pandangan saya dan ramai ahli Parlimen juga berpendapat, perkara itu, walau apa pun alasan Ahli Parlimen Baling.

“Niat di sebalik kenyataan tersebut bukan kata tempat ini gelap, kurang pencahayaan dan sebagainya,” kata beliau. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: