KUALA LUMPUR: Harga minyak sawit mentah (MSM) berkemungkinan secara purata akan berada pada RM2,573 satu tan metrik dengan potensi untuk mencapai tinggi RM2,944 satu tan metrik tahun ini, kata Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) Kalyana Sundram.
“Unjuran output kami untuk 2020 adalah 19.6 juta tan, sementara nisbah penggunaan stok global adalah 14.68%. Hasil daripada permintaan dan kenaikan harga yang meningkat baru-baru ini, kami yakin pada harga tinggi itu boleh dicapai komoditi itu pada 2020.
“Harga terendah yang mungkin dicapai adalah sekitar RM2,152 satu tan metrik tetapi saya tidak jangkakan ia akan berada pada harga tersebut,” katanya pada sesi webinar “Market Recovery after Pandemic and Prospects of Further Growth” hari ini.
Sebelum ini, MPOC mengunjurkan harga MSM akan sekitar RM2,337 satu tan metrik secara purata untuk 2020, sementara paras tinggi dan rendah masing-masing adalah pada RM2,594 dan RM2,080 satu tan metrik.
Mengulas prestasi MSM Malaysia bagi tempoh Januari hingga Jun 2020, beliau berkata pengeluaran menurun 7.55% kepada 9.05 juta tan berbanding 9.79 juta tan pada tempoh yang sama 2019, sementara eksport menurun 17 peratus kepada 7.80 juta tan daripada 9.39 juta tan akibat wabak Covid-19.
“Bagaimanapun, kami menyaksikan kenaikan yang ketara dalam harga MSM yang didagangkan, iaitu 24% lebih tinggi pada RM2,482 dalam tempoh tersebut daripada RM1,996 yang dicatatkan pada tempoh Januari hingga Jun 2019.
“Kami juga melihat pengurangan lebih daripada 21% dalam stok MSM kami, ketika ini mencapai 1.9 juta tan. Secara keseluruhannya, prestasi komoditi itu baik walaupun pengeluaran yang lebih rendah,” katanya.
Walaupun eksport rendah pada beberapa bulan pertama tahun ini kerana Covid-19, peningkatan eksport dicatat pada Mei hingga Julai tahun ini kerana negara-negara yang memerlukannya harus menambah stok MSM mereka, katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan