PETALING JAYA: Malu, tertekan dan sukar mendapatkan sokongan moral dan emosi menyebabkan wanita hamil tanpa nikah bertindak membuang bayi mereka di tempat yang tidak sepatutnya.
Malah, ada yang sehingga sanggup membuang anak tidak sah taraf itu dari tingkat atas rumah mereka.
Lapan hari selepas insiden bayi perempuan baru lahir dicampak dari tingkat 13, sebuah rumah pangsa di Pulau Pinang, lagi 1 kes campak bayi dilaporkan di Ipoh, 3 hari lalu.
Seorang pensyarah fakulti undang-undang dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Noor Aziah Awal, berkata wanita yang membuang bayi akan hidup dalam kemurungan, bersalah, kesedihan melampau serta emosinya sukar dikawal.
“Kes campak atau buang bayi bukan perkara baru. Nampak seperti meningkat kerana mungkin ibu muda yang hamil berada dalam keadaan tertekan semasa perintah kawalan pergerakan (PKP).
“Mereka tidak boleh keluar dan sukar mendapat sokongan moral dan emosi. Ada yang tertekan kerana kehilangan pekerjaan dan mungkin tidak dapat jumpa keluarga ketika tempoh PKP untuk menerangkan situasi sebenar,” katanya kepada FMT.
Aziah yang juga pesuruhjaya kanak-kanak berkata, ibu muda mungkin keliru atau tertekan kerana hamil tanpa nikah, menyebabkan dia merelakan keadaan itu berlaku.
“Itu juga disifatkan sebagai satu penafian diri.”
Jelasnya, mangsa perlu dibawa untuk berjumpa pakar sebelum keadaan bertambah keruh sehingga mangsa berputus asa dengan kehidupan.
Aziah berkata, sebahagian besar kes pembuangan bayi membabitkan remaja berumur antara 18 hingga 25 tahun atau wanita yang hamil itu berusia bawah 18 tahun.
“Majoriti kes membabitkan perzinaan suka sama suka dan hanya sebahagian kecil membabitkan kes rogol bawah umur.
“Pesalah atau individu yang membuang bayi ini perlu diberi kaunseling dan sokongan menyeluruh kerana berdepan dengan kehidupan yang tertekan. Semua pihak harus sama-sama memahami konflik dalam diri ibu muda ini,” katanya.
Mengulas hukuman penjara maksimum 20 tahun kepada pesalah yang membuang bayi, beliau berkata, hukuman itu sudah cukup berat terutama jika pesalah itu ibu muda berumur 18 hingga 25 tahun kerana sebahagian hidup mereka terpaksa dikorbankan begitu saja.
Sebaliknya, Aziah berkata, pendidikan seks dengan menitikberatkan nilai-nilai kehidupan Islam sebenar perlu dipergiatkan terutama di peringkat awal sekolah supaya perkara ini dapat dibendung dan dikawal.
“Malah, kita perlu bekerja kuat mendidik masyarakat untuk tidak menghukum ‘pembuang’ bayi kerana mereka berasa malu dan bersalah.
“Masyarakat perlu berhenti menghukum anak tak sah taraf dan sama-sama membantu kanak-kanak atau remaja yang terlanjur hingga hamil,” katanya.
Beliau mencadangkan lebih banyak “baby hatch” atau rumah perlindungan bayi diwujudkan bagi memberi peluang kepada mereka yang menjadi mangsa menyerahkan bayi dalam keadaan lebih selamat untuk dijaga oleh pihak lain.
Statistik polis menunjukkan lebih 100 bayi dibuang setiap tahun.
Kebanyakan bayi dibuang di dalam timbunan sampah, dengan 60% daripadanya mungkin sudah tidak bernyawa ketika ditemui kerana disumbat ke dalam lubang tandas, dibuang ke longkang atau terbakar sehinggakan bayi tidak dapat dikenali. Ada juga yang bernasib baik dan berjaya diselamatkan serta mendapat peluang untuk hidup.
Kes buang bayi disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian dan boleh dikenakan hukuman maksimum 20 tahun penjara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan