KUALA LUMPUR: Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Azalina Othman Said melarang Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) memainkan rakaman audio didakwa mirip suara Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin ketika beliau membahaskan ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.
Ahli Parlimen DAP itu pada awalnya bertanya kepada ahli Parlimen lain jika individu di sebalik klip audio bocor itu ialah Muhyiddin yang cuba menarik pemimpin Umno menyertai partinya dengan tawaran jawatan dalam Kabinet dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Beliau turut bertanya kepada menteri dalam negeri mengenai perkembangan berhubung laporan polis yang dibuat ke atas rakaman audio itu kerana mendakwa perkara itu penting disebabkan kemungkinan wujud unsur rasuah.
Katanya, Muhyiddin hanya perlu mengesahkan jika itu ialah suaranya dan terus memainkan rakaman audio itu.
Azalina segera menghentikan Ramkarpal berbuat demikian dan meminta beliau menyatakan di bawah Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat mana yang membenarkan rakaman audio dimainkan.
“Boleh tak Yang Berhormat (YB) tunjukkan saya di bawah peraturan mana membolehkan YB berbuat demikian? Saya tidak pernah dengar perkara ini berlaku sebelum ini.”
Ramkarpal mempertahankan tindakannya dengan berkata, klip audio itu sebahagian daripada teks ucapan perbahasannya yang dikatakan bukti penting untuk menunjukkan rakaman audio itu milik suara Muhyiddin.
Katanya, memainkan klip audio di dalam Dewan Rakyat bukan perkara baru dan ia pernah dilakukan pada 2007 serta rakyat berhak tahu individu sebenar di sebalik rakaman suara itu.
Tetapi, Azalina berkata, ahli Parlimen perlu menyerahkan notis lebih awal dahulu untuk memainkan sebarang rakaman audio.
“Saya agak terperanjat dan ini bukannya mahkamah, tetapi Dewan Rakyat untuk perbahasan usul. Jadi, tidak timbul soal ‘hear say’.
“Adakah niat sebenar YB adalah untuk membuktikan adanya rakaman audio berkenaan? Ini debat bukannya ‘hear say’.”
Tindakan Ramkarpal itu dibantah beberapa ahli Parlimen kerajaan, termasuk Mohamad Alamin (PN-Kimanis), Abdul Azeez Abdul Rahim (PN-Baling) dan Shahidan Kassim (PN-Arau).
Klip audio itu didakwa dirakam dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM pada 23 Feb lalu – sehari sebelum Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai perdana menteri dan pengerusi PPBM, menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan tumbang.
Suara dalam klip audio itu menggalakkan pemimpin PPBM cuba meyakinkan ahli Parlimen Umno menyokong mereka. PPBM akan menjadi parti Melayu terbesar dalam kerajaan jika mereka berjaya, individu itu didakwa berkata demikian.
Ramkarpal dalam sidang media selepas itu berkata, beliau kecewa dengan keputusan Azalina dan hanya dapat memainkan klip audio itu beberapa saat sebelum diarahkan berhenti.
Katanya, beliau tidak tahu mengenai keperluan untuk memaklumkan speaker berhubung kandungan perbahasan lebih awal atau Peraturan Mesyuarat yang melarang klip audio merupakan sebahagian perbahasan ahli Parlimen dimainkan.
“Atas alasan itu dan hanya alasan itu saja, speaker tidak sepatutnya melarang saya daripada memainkan rakaman itu.
“Beberapa laporan dibuat kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung rakaman audio itu. Itu sebabnya saya membangkitkannya untuk bertanya kepada menteri jika tindakan sudah diambil terhadap laporan itu atau status laporan tersebut. Jika laporan itu disiasat dan tiada unsur jenayah ditemui, tak apalah.”
Katanya, beliau juga mahu memberi peluang kepada Dewan Rakyat untuk mengenal pasti identiti suara dalam rakaman itu.
Ramkarpal berkata, mendiang bapanya, Karpal Singh pernah memainkan satu klip audio dalam Dewan Rakyat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan