KUALA LUMPUR – Seramai 92 individu termasuk 14 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ditahan polis dalam dua operasi berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semalam.
Penahanan itu dibuat atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) PKPP menerusi Task Force Operasi Pematuhan dan kesalahan Imigresen dalam Operasi Benteng di pintu masuk sempadan.
Menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob, daripada 78 individu yang ingkar arahan PKP, 42 dikenakan kompaun, manakala seorang direman dan 35 individu lagi dibebaskan dengan jaminan polis.
“Menerusi Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai polis, sebanyak 64,303 pemeriksaan telah diadakan bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan SOP PKPP.
“Dalam jangka masa 24 jam, 78 individu ditahan kerana kesalahan ingkar PKP termasuk aktiviti melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial dan aktiviti yang melanggar SOP,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Mengenai Operasi Benteng yang melibatkan polis, tentera, Maritim Malaysia dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM), Ismail Sabri berkata, mereka mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu daripada dibolosi Pati bagi mengekang jenayah rentas sempadan, selain menyekat penularan wabak Covid-19.
Katanya, sebanyak 67 Sekatan Jalan Raya Operasi Benteng di seluruh negara diadakan dan memeriksa 40,495 kenderaan bagi mengekang kemasukan Pati terutamanya di lorong tikus.
“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguatkuasa akan mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutama di lorong tikus,” katanya.
Mengenai penyiaran berita palsu berkaitan Covid-19, beliau menyatakan, sehingga semalam, sebanyak 266 kertas siasatan dibuka oleh polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Dari jumlah itu, kata beliau, sebanyak 172 masih dalam siasatan, manakala 30 kes telah didakwa di mahkamah, 12 lagi diberikan notis amaran, 13 dalam proses perbicaraan dan 17 mengaku bersalah.
“Tiada pertambahan kertas siasatan baharu dibuka oleh polis dan SKMM dalam tempoh lebih dua bulan yang lepas dan ini menunjukkan kesedaran masyarakat terhadap penyebaran berita palsu telah meningkat.
“Namun, polis dan SKMM sedang dalam proses penilaian beberapa laporan yang diterima berkenaan berita palsu mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
“Pihak berkuasa ini akan terus membuat pemantauan ketat terhadap dan kerajaan memandang serius serta tidak akan berkompromi dengan penyebaran berita palsu,” katanya.
Pada masa sama, Kata Ismail Sabri, sebanyak 352 penafian dan penjelasan mengenai berita palsu telah diperjelaskan kepada orang ramai oleh Pasukan Respon Pantas (PRP) Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) yang ditubuhkan bagi membendung penyebaran berita palsu Covid-19.
Beliau mengingatkan orang ramai berhati-hati sebelum menyebarkan sebarang kandungan yang diragui kesahihannya dan boleh menyalurkan maklumat kepada PRP di talian 03-8911 5103 atau layari www.sebenarnya.my untuk menyemak kesahihan berita. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan