Selasa, 8 Oktober 2019

Beri peluang belia 18 tahun jadi pengundi dulu sebelum calon

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

 

Nak jadi pemimpin yang baik, calon mesti ada tahap ilmu yang tinggi


BANGI– Penganalisis politik, Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain berpendapat bahawa hak mengundi belia berumur 18 tahun perlu dilaksanakan terlebih dahulu sebelum meletakkan mereka sebagai calon pilihan raya.

Beliau berkata, adalah lebih baik jika mereka dapat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi sebelum menjadi calon, sekali gus merasai sendiri pengalaman berpilihan raya dan berdemokrasi.

“Lebih penting, beri mereka peluang untuk menumpukan perkara lebih utama dalam hidup seperti menyambung pengajian dan mencari pekerjaan untuk menyara kehidupan diri serta membantu keluarga,” katanya dalam artikel yang disiarkan Berita Harian, hari ini.

Katanya, untuk menjadi pemimpin yang baik, calon mesti mempunyai tahap ilmu yang tinggi dan mempunyai pengalaman mengenai kehidupan.

“Di beberapa negara, seseorang calon hanya boleh bertanding apabila mencecah usia 25 tahun dan pernah membayar cukai pendapatan.

“Ini bagi memastikan calon benar-benar bersedia, matang serta mempunyai tanggungjawab sebagai seorang warganegara,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Azhar Azizan Harun mengumumkan mana-mana parti politik yang bertanding dalam PRK Tanjung Piai pada 16 November ini boleh meletakkan calon berusia 18 tahun sejajar dengan Pindaan Perkara 47 Perlembagaan Persekutuan yang diwartakan pada 10 September lepas.

Namun, Azhar berkata, pengundi berusia 18 tahun tidak boleh mengundi dalam PRK berkenaan kerana pelaksanaannya masih belum dikuatkuasakan.

Mengulas lanjut, Mohd Izani yang juga pensyarah Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) menegaskan, walaupun had umur calon telah diturunkan kepada 18 tahun, ia bukan bermakna parti politik perlu memilih seramai mungkin calon muda serta-merta, semata-mata kerana pindaan Perlembagaan.

“Sehingga kini, tidak ada sebuah parti politik pun mengeluarkan kenyataan dan memberikan jaminan akan meletakkan calon berusia 18 tahun. Malah baru-baru ini, ada pemimpin sebuah parti politik memberi sindiran bahawa memilih wakil rakyat bukan memilih pengerusi kelab.

“Sudah tentu parti politik mengutamakan calon yang mempunyai pengalaman dan kematangan hidup untuk menjadi wakil rakyat secara berkesan. Tahap pendidikan yang tinggi, iaitu sekurang-kurangnya ijazah pertama perlu dimiliki mana-mana calon untuk memimpin masyarakat yang semakin terpelajar dan kritikal,” katanya.

Justeru, beliau berpandangan bahawa jika rakyat mahu melihat calon berusia 18 tahun, ia perlu berlaku secara organik dan tidak melalui tekanan. 

“Pilihan raya bukan sekadar memilih wakil rakyat yang diberi elaun, tetapi pemimpin dan suri teladan yang boleh dijadikan contoh serta ikutan masyarakat,” katanya.


Tiada ulasan: