Selasa, 8 Oktober 2019

Kerajaan nak rakyat bayar lebih banyak cukai dalam SST: Najib

ainulillia

 

Rakyat tetap gembira walaupun nilai cukai tak telus, sindir bekas PM

BANGI– Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjangkakan lebih banyak kategori barang atau perkhidmatan akan dikenakan cukai oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH). 

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad di Parlimen hari ini, bahawa kerajaan sedang menjalankan proses penambahbaikan bagi memantapkan lagi pelaksanaan Cukai Jualan Dan Cukai Perkhidmatan (SST).

“Saya yakin apabila diuruskan dengan baik, pada tahun akan datang, hasil SST akan lebih daripada GST,” kata perdana menteri.

Najib berkata, kenyataan Ahli Parlimen Langkawi itu membawa makna bahawa PH mempunyai hasrat untuk meningkatkan lagi kutipan cukai daripada rakyat.

“Pagi tadi, PM ke-7 memaklumkan kepada Parlimen bahawa kerajaan PH sedang menambah baik cukai SST supaya hasil SST akan lebih tinggi daripada hasil GST.

“Ini bermakna kerajaan PH ada hasrat untuk meminda cukai SST supaya lagi banyak kategori barang atau servis akan dikenakan cukai jualan dan cukai servis,” katanya dalam hantaran di laman Facebook, miliknya, hari ini.

Malah, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan yakin ini bukan kali pertama PH melakukan perkara sedemikian.

“Cukai SST bermula 1 September 2018. Tiba-tiba pada 31 Disember 2018, mereka secara senyap-senyap umumkan empat lagi kategori akan termasuk dalam cukai SST (sehingga hari ini Lim Guan Eng tak pernah sebut perkara ini pun) bermula 1 Mac 2019.

“Akibatnya, kanak-kanak ke taman tema, mereka yang basuh baju di dobi, mereka yang pergi kursus atau tuisyen dan mereka yang beli saham dan banyak servis lain lagi dikenakan cukai,” katanya.

Mengulas lanjut Najib percaya matlamat kerajaan PH adalah jelas iaitu mereka mahu rakyat membayar lagi banyak cukai dalam bentuk SST berbanding Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

“Ini tak penting kerana selama nilai cukai dibayar tak nampak dalam resit dan cukai itu tak telus, rakyat tetap gembira,” sindirnya.


Tiada ulasan: