Rabu, 10 Julai 2019

Kembalinya Najib sebagai ‘warlord’ dalam BN

Muhammad Azizul Osman
MGF100719_SIDANG-DEWAN-RAKYAT35
Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah bercakap kepada media pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK
 

KUALA LUMPUR – Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, langkah Barisan Nasional (BN) melantik Datuk Seri Najib Razak selaku Pengerusi Lembaga Penasihat BN berkemungkinan membawa semula budaya dan pengaruh ‘warlord’ dalam parti.

Katanya, beliau tidak menolak sebarang kemungkinan itu disebabkan perubahan terkini yang dihadapi oleh BN.

“Mungkin (wujud budaya Warlord kembali), saya fikir ini hanya satu fasa dan mungkin ini hanya satu ujian bagi kita semua, UMNO tidak dimiliki oleh ahli UMNO sahaja, ia adalah milik seluruh masyarakat, sama dengan BN, para pemimpin datang dan pergi,” katanya di lobi Parlimen.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada pelantikan Najib menggambarkan bahawa ‘warlord’ kembali muncul dan menguasai UMNO, mengatasi kumpulan yang mahukan pembaharuan dalam parti itu.

Semalam, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dalam satu kenyataan berkata Dewan Tertinggi BN sebulat suara bersetuju melantik Najib sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat BN.

Najib dilantik kepada jawatan itu bagi membantu BN dalam usaha mengembalikan semula sokongan rakyat kepada parti itu.

Mengulas lanjut, Tengku Razaleigh atau Ku Li berkata, pelantikan Najib itu tidak salah kerana BN dan UMNO memerlukan sokongan semua pihak untuk menghidupkan semula kedua-dua parti itu.

Walaupun Najib berdepan pelbagai tuduhan, katanya, bekas Perdana Menteri itu tidak semestinya menjadi liabiliti kepada UMNO dan BN.

Ditanya pandangan veteran UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz yang menyifatkan tiada nasihat yang boleh diberikan Najib kerana UMNO dan BN tumbang di bawah pimpinannya, Ku Li membayangkan tidak semua nasihat Najib perlu dituruti.

“Mungkin kita akan diuji daripada segi apakah nasihat yang kita patut terima (daripada Najib),” katanya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: