Rabu, 17 April 2019

Wang Kelian: Wanita jerit ‘polis’ selepas terima pesanan telefon, kata saksi

Lans Koperal Mat Ten.
 
PUTRAJAYA: Saksi pertama pendengaran awam mengenai penemuan kem penyeludup manusia dan kubur beramai-ramai di Wang Kelian, Perlis memberitahu Suruhanjaya Siasatan Diraja bahawa orang-orang di kem tersebut melarikan diri selepas menerima satu pesanan telefon.

Ketika kejadian, Lans Koperal Mat Ten berkata dia bersama 9 anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) baru sahaja tiba di kem tersebut untuk melakukan intipan, dan ternampak seorang wanita sedang menggunakan telefon bimbit.

Tiba-tiba, dia terdengar telefon bimbit wanita itu berbunyi.

“Berbunyi seperti pesanan masuk,” katanya kepada pegawai pengendali, Khairul Anuar Abd Halim.

“Saya kemudian melihat wanita itu perhatikan kawasan sekeliling seketika dan kemudiannya menjerit, ‘polis’,” katanya.

Mat Ten, dari Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) memberi keterangan pada hari pertama RCI yang bersidang untuk mengkaji dokumen dan keterangan mengenai penyeludupan manusia dan kubur beramai-ramai di Wang Kelian, serta tatacara pihak berkuasa semasa dan selepas penemuan itu.

Negara digemparkan pada 2015 dengan penemuan 147 kubur, 130 rangka manusia dan 28 kem yang dikaitkan dengan kegiatan penyeludupan manusia di bukit Wang Burma, Wang Kelian di sempadan Malaysia-Thailand.

Terdahulu, Mat Ten menceritakan kepada panel yang dipengerusikan bekas ketua hakim negara, Arifin Zakaria, bagaimana dia menemui kem tersebut pada pagi 19 Januari 2015.
Koperal Yusof Islam.
Mat Ten berkata dia bersama Koperal Yusof Islam Hassan mengesyaki keberadaan sebuah penempatan di dalam hutan apabila ternampak buih-buih dan terhidu bau sabun pada air sebatang sungai di kawasan yang sedang dironda.

Mereka kemudian bergerak ke hulu sungai untuk mengesan sumber air bersabun itu lalu menemui sebuah penempatan, yang dibina dengan kayu dan kain khemah, dikelilingi pagar dawai.

“Tiba di situ saya ternampak seorang perempuan sedang membasuh pakaian. Jaraknya sangat dekat dan kami berada di belakang wanita itu,” katanya.

Mat Ten berkata mereka terus melakukan intipan bagi mendapatkan lebih banyak maklumat untuk dimaklumkan kepada pegawai atasan.

“Selepas wanita itu naik ke atas, kami mengekorinya dan terdapat seorang lelaki sedang berbaring di kawasan tersebut ada sebuah bangunan yang diperbuat daripada kayu, dipercayai sebagai kedai,” katanya.

Setelah dipastikan tiada sesiapa berada di kawasan bangunan itu, dia memberanikan diri untuk membuka pintu.

“Di dalamnya ada banyak barangan makanan seperti beras, bawang, minyak masak, garam dan sardin yang tertera tulisan Thailand,” katanya.

Selepas berpuas hati dengan maklumat yang diperolehi, mereka kemudian turun ke pos kawalan Wang Kelian untuk memaklumkan penemuan itu kepada pegawai atasan, ASP Joking.

Katanya, sekitar 12 tengah hari, Joking mengarahkan 1 pasukan 10 anggota pergi semula ke kem itu untuk melakukan intipan pada hari yang sama.

Mat Ten bagaimanapun meminta Joking menghantar pasukan seramai itu pada keesokan hari kerana bimbang penyeludup dapat mengesan kaki-kaki mereka, dan memohon kebenarannya untuk melakukan intipan pada hari itu.

Permintaannya ditolak pegawai atasan. Pasukan 10 anggota itu, diketuai Inspektor Musaddid, bergerak ke kem pada 2 jam petang hari yang sama.

‘Polis!’

Ketibaan mereka bagaimanapun disambut jeritan “polis”.

Mat Ten berkata sebaik sahaja wanita itu menjerit, sekumpulan individu berlari keluar daripada kem itu dan dia segera memaklumkan hal itu pada Musaddid.

Mereka bagaimanapun hanya dapat menemui 6 individu, dipercayai pendatang haram, dalam khemah berkunci. Salah seorang daripada mereka dalam keadaan lemah.

“Yang lain semuanya lari,” katanya.

Ahli panel, Nazirah Hussin kemudian bertanya adakah wanita itu menjerit “polis” semasa menggunakan telefon bimbit atau kerana ternampak kelibat pasukannya.

“Ya, bukan kerana nampak muka saya tapi nampak mesej dari telefon, kemudian menjerit, tetapi saya tidak tahu apa kandungan mesej itu,” katanya.

Mat Ten menjelaskan pasukannya ke kem tersebut pada hari itu bukan untuk melakukan serbuan tetapi untuk intipan.

RCI dipengerusikan oleh Arifin dan timbalannya, bekas ketua polis negara, Norian Mai.

Panel itu dianggotai bekas ketua pendakwaan Jabatan Peguam Negara, Noorbahri Baharuddin; Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Razali Ismail; bekas ketua penyelidik Jabatan Peguam Negara, Junaidah Abdul Rahman; bekas duta Malaysia ke Thailand, Nazirah Hussin; dan bekas timbalan pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Dr Tan Seng Giaw.


Tiada ulasan: