LANGSUNG | Perbicaraan Najib
Razak yang berdepan tuduhan pecah amanah dan salah guna kuasa melibatkan
dana SRC International Sdn Bhd (SRC) bersambung lagi hari ini.
Malaysiakini terus membawakan liputan perbicaraan berprofil tinggi tersebut dari semasa ke semasa, di sini.
LANGSUNG
12.30pm: Uma
Devi memberitahu mahkamah bahawa dia dimaklumkan oleh pengurus bank
sebelumnya - yang dirujuknya sebagai Jayakumar - bahawa beberapa akaun
berdaftar sedang disiasat pihak berkuasa.
Katanya, perkara itu
disampaikan padanya kira-kira tiga hari selepas Jayakumar secara rasmi
menyerahkan tugas padanya pada 1 Julai 2015.
Penyerahan tugas itu sebelumnya tertangguh kerana Jayakumar bercuti sakit.
Uma Devi bagaimanapun berkata dia tidak tahu akan mana yang sedang disiasat.
Katanya,
tiga hari kemudian, sekumpulan pegawai Bank Negara bertanya berkaitan
akaun milik SRC International, Gandingan Mentari, Yayasan Gemilang dan
Najib.
Serbuan itu turut bertanya berkaitan akaun 1MDB, katanya.
Pegawai-pegawai
itu, kata Uma Devi, memberikan nama-nama itu secara lisan tetapi dia
tidak ingat sama ada nombor akaun turut diberikan atau nama-nama
dibacakan dari satu senarai.
“Saya tidak ingat tetapi mereka kata
mereka mahu semua akaun bawah nama-nama tertentu, tetapi saya tidak
ingat sama ada mereka berikan nombor akaun,” katanya menjawab soalan
Harvinderjit.
Semasa soal balas, Harvinderjit juga membacakan satu
senarai nama dan meminta Uma Devi mengesahkan sama ada ditanya
berkaitannya. Nama Najib tidak termasuk dalam senarai individu disebut
itu.
Uma Devi berkata dia tidak ingat kebanyakan nama itu tetapi
berkata pihak berkuasa mungkin bertanya sama ada pengarah-pengarah SRC
ada membuka akaun di cawangan itu.
/ends
12.15pm: Uma
Devi berkata dia tidak tahu mengenai akaun di Ambank Raja Chulan
sebelum 1 Julai 2015 - tarikh dia dipindahkan ke cawangan itu.
Uma Devi juga mengesahkan keterangannya hanya berdasarkan dokumen yang diperolehinya.
Ketika
ditanya sama ada dia melihat Najib sendiri atau nampak bekas perdana
menteri menandatangani dokumen di depannya, Uma Devi menjawab tidak.
Dia
juga memberitahu peguam Najib bahawa dia tidak nampak Nik Faisal atau
Suboh Md Yassin menandatangani dokumen di depan matanya sendiri.
Uma
Devi menyerahkan dokumen-dokumen berkaitan kepada pegawai serbuan Bank
Negara Azizul Adzani pada 6 Julai 2015 kepada pegawainya.
11.27 pagi:
R Uma Devi menafikan pegawai penyiasat Bank Negara Azizul Adzani Abdul
Ghafar hanya memberikan nombor akaun kepada pengurus bank berkenaan
semasa premis tersebut diserbu pada 6 Jul 2015.
Semasa disoal
balas peguam bela Najib Razak, Harvinderjit Singh, Uma Devi berkata dia
mengetahui keterangan diberikan Azizul Adzani melalui beberapa laporan
berita.
Harvinderjit: Semasa anda disoal (pendakwaan pada
minggu lalu) anda tahu apa yang dikatakan Azizul tak sama dengan apa
yang kamu kata (sekarang). Uma Devi: Ya.
Harvinderjit: Azizul beritahu mahkamah dia hanya memberikan kamu nombor-nombor akaun. Adakah kamu tahu ia tidak benar? Uma Devi: Ya.
Harvinderjit: Ini dibincangkan dengan (timbalan pendakwa raya) Suhaimi, Sulaiman dan Sithambaram? Uma Devi: Ia ada disebut.
Harvinderjit: Posisi kamu berbeza? Uma Devi: Ya.
Semasa
disoal balas oleh Harvinderjit pada minggu lalu Azizul Adzani menafikan
dia meminta butiran transaksi khusus daripada Uma Devi semasa serbuan
dilakukan.
10.40 pagi: Pelanggan Ambank bertanggungjawab
menyemak penyata akaun bulanan mereka dan perlu berhubung dengan pihak
bank dalam tempoh 14 hari jika terdapat sebarang kejanggalan.
Pengurus
Ambank cawangan Jalan Raja Chulan, R Uma Devi berkata berdasarkan
rekodnya tiada sebarang makluman diberikan oleh Najib Razak berhubung
tiga akaun banknya yang bernombor akhir 906, 880 dan 898.
Uma Devi berkata demikian semasa disoal TPP V Sithambaram.
Terdahulu
Uma Devi ditanya sama ada wujud sebarang pemakluman mengenai kesilapan,
percanggahan, pengeluaran tanpa kebenaran atau seumpamanya berhubung
akaun Najib.
"Setakat pengetahuan saya dan rekod yang ada, tidak ada," katanya.
9.48 pagi:
Peguam bela Najib, Harvinderjit Singh, membantah soalan dikemukakan
Timbalan Pendakwa Raya (TPP) Suhaimi Ibrahim mengenai serbuan Bank
Negara di Ambank cawangan Jalan Raja Chulan pada 6 Julai 2015.
Kata Harvinderjit, timbalan TPP mesti mendapatkan bukti dengan membuka soalan dan bukannya meminta saksi memberikan pengesahan.
"Di mana kredibilitinya?" kata peguam itu.
Menurut
Suhaimi, isu serbuan penyiasat Bank Negara itu tidak dicabar oleh pihak
pembelaan dan jika cara soalan itu diubah, ia akan menjadikan hal
berkenaan lebih panjang.
Bagaimanapun kata Harvinderjit tidak semua kejadian dalam serbuan ke atas bank berkenaan sudah disahkan.
Hakim
Mohd Nazlan Mohd Ghazali kemudian mengarahkan Suhaimi menyusun semula
ayat bagi soalannya mengenai fail-fail yang diserahkan Uma Devi kepada
pegawai Bank Negara pada hari serbuan.
9.46 pagi: Disoal
Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Ibrahim, Pegawai Ambank Uma Devi
mengesahkan pegawai Bank Negara datang ke premis terletak di Jalan Raja
Chulan, Kuala Lumpur pada 6 Julai 2015.
Bagaimanapun pengurus bank
itu berkata kedatangan pegawai penyiasat terbabit tidaklah dianggap
sebagai serbuan kerana operasi di situ berjalan seperti biasa.
"Pegawai Bank Negara datang berjumpa pengurus bank dan saya membawa mereka ke tingkat atas," katanya.
Ringkasan kes Najib berhubung dana SRC RM42 juta
Najib Razak berdepan 7 tuduhan berkaitan dana RM42 juta melibatkan SRC International, bekas anak syarikat 1MDB
9.35 pagi: Pengurus Ambank Jalan Raja
Chulan, R Uma Devi memberitahu mahkamah sekeping cek bernilai RM3.5 juta
dari akaun Najib Razak dikeluarkan kepada firma guaman Hafarizam Wan
Aisha and Mubarak.
Kata Uma Devi cek tersebut bertarikh 21 Jan 2015 dan didebitkan sehari kemudian.
Bagaimanapun
kata pegawai bank terbabit ada satu kelihatan dilakukan di pihak bank
menyebabkan hanya RM3,500 saja dimasukkan ke akaun penerima.
Katanya
dia dimaklumkan ada tindakan untuk membetulkan kesilapan tersebut namun
tidak pasti jika ia dilakukan oleh pusat pemprosesan cek Ambank.
Uma
Devi kemudian memberitahu pada Mac 2015 Najib mengarahkan tiga akaunnya
di bank itu - yang dibuka pada 31 Julai 2013 - ditutup.
Uma Devi
Pegawai
bank itu juga mengesahkan tiga akaun bank terbabit - masing-masing
bernombor 2112022011898, 2112022011880 dan
2112022011906AMPrivateBankingOneMy - mempunyai baki sebanyak
RM103,361.17 apabila ia ditutup.
Dalam surat arahan penutupan
akaun bertarikh 3 Mac 2015 itu juga, kata Uma Devi, Najib mengarahkan
bank terbabit memindahkan baki wang berkenaan ke akaun bank milik Ihsan
Perdana Sdn.
Katanya pemindahan tersebut dilakukan Ambank melalui sekeping cek bertarikh 9 Mac 2015.
Terdahulu
Uma Devi memberitahu mahkamah mengenai pemindahaan berjuta-juta ringgit
di antara tiga akaun berkenaan sebelum ia ditutup.
Pemindahan itu katanya dibuat atas arahan Nik Faisal Ariff yang diberikan kuasa menguruskan akaun berkenaan.
9.10 pagi: Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Ibrahim memperkenalkan anggota pendakwaan dan pembelaan untuk hari ini.
Bagaimanapun di pihak pembelaan, ketua mereka, Muhammad Shafee Abdullah, tidak kelihatan.
Peguam
Harvinderjit Singh memberitahu mahkamah Shafee masih dalam perjalanan
dan bersedia jika hakim mengarahkan perbicaraan diteruskan.
Saksi ke-21, Pengurus Ambank cawangan Jalan Raja Chulan R Uma Devi mengambil tempat untuk menyambung keterangan.
Shafee kemudian tiba beberapa minit selepas perbicaraan dimulakan.
9.08 pagi: Najib masuk ke kandang tertuduh selepas hakim mengambil tempat untuk memulakan perbicaraan.
8.55 pagi: Bersut biru gelap, Najib Razak mengambil tempat di bangku barisan depan sementara menunggu perbicaraan bermula.
Dua bantal dan sebotol air kelihatan diletakkan dalam tempat duduk kandang tertuduh yang akan dimasuki Najib tidak lama lagi.
Berdepan
dengan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika disabitkan
kesalahan, hari kesembilan ini dijangka menyaksikan Pengurus Ambank
cawangan Jalan Raja Chulan, R Uma Devi, menyambung keterangan di depan
hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
Semalam keterangannya berhubung serbuan dibuat pegawai Bank Negara ke bank berkenaan memenuhi sebahagian besar perbicaraan.
Antara
lain saksi pendakwaan ke-21 itu memberitahu mahkamah mengenai arahan
debit untuk memindahkan wang berjumlah RM3,282,734.16 dari akaun Najib
dan dipecahkan kepada dua kad kredit bekas perdana menteri itu.
Katanya
Najib mengarahkan RM449,586.95 dimasukkan ke akaun kad kredit Visa
Platinum dan bakinya disalurkan ke akaun kad kredit Mastercard Platinum
yang tidak dinyatakan pemiliknya.
Peguan Negara Tommy Thomas
mengetuai 13 anggota pasukan pendakwaan melibatkan Sulaiman Abdullah, V
Sithambaram, Manoj Kurup, Ishak Mohd Yusoff, Donald Joseph Franklin,
Suhaimi Ibrahim, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi, Sulaiman Kho Kheng
Fuei, Budiman Lutfi Mohamed, Mohd Ashraf Adrin Kamaril, Muhammad Izzat
Fauzan, dan Mohd Ashraf Adrin Kamaril.
Najib pula diwakili 13 peguam bela diketuai Muhammad Shafee Abdullah.
Anggota
lain yang bertindak membela Najib ialah bekas peguam cara Mohd Yusof
Zainal Abiden, Harvinderjit Singh, Kamarul Hisham Kamaruddin, Chong
Loong Men, Devanandan S Subramaniam, Farhan Read, Wan Aizuddin Wan
Mohammed, Rahmat Hazlan, Muhammad Farhan Shafee, Tiara Katrina Fuad, Nur
Syahirah Hanapiah, dan Zahria Eleena Redza.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan