Ahad, 28 April 2019

Waris keturunan Datuk Bentara Luar beri tempoh 3 bulan kepada Kerajaan Johor

Mohammad Arif Nizam
zaini-1-681x511
Mohd Zaini Aris (tengah) bersedia membawa isu harta pusaka yang membabitkan kerajaan negeri Johor ke mahkamah antarabangsa.

JOHOR BAHRU – Waris keturunan Datuk Bentara Luar, Allahyarham Datuk Mohamed Salleh Perang memberi tempoh tiga bulan kepada Kerajaan Johor untuk memberi maklum balas mengenai tuntutan harta pusaka milik Allahyarham yang didakwa bernilai sehingga RM300 bilion.

Wakil Waris Pentadbirnya, Mohd Zaini Aris berkata, jika masih tiada tindakan, pihaknya bersedia membawa ke peringkat mahkamah antarabangsa.

Beliau berkata tindakan akan dilakukan memandangkan segala bukti dokumen tuntutan telah lengkap.

“Kerajaan Johor diberi tempoh sehingga tiga bulan untuk memberikan kerjasama dengan waris keturunan Datuk Bentara Luar itu berhubung tuntutan harta berkenaan.

“Kami telah membuat tuntutan kepada kerajaan negeri berhubung perkara ini, namun, sehingga kini tidak mendapat kerjasama yang diharapkan.

“Jika kerajaan negeri masih enggan memberi kerjasama, kami akan membawa kes ini ke peringkat antarabangsa, ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ),” katanya pada sidang media di sini semalam.

Menurut Mohd. Zaini, waris-waris Alahyarham memohon kes tuntutan itu diselesaikan segera memandangkan kes tuntutan yang mula dibuka di mahkamah pada akhir 2017, masih belum dapat dijalankan sehingga kini.

Beliau turut mendakwa Pejabat Tanah dan Galian (PTG) bertindak mengeluarkan surat serah palsu berhubung penyerahan tanah milik Mohammed Salleh kepada kerajaan negeri.

“Pihak waris ada menerima satu salinan surat penyerahan tanah-tanah Datuk Bentara Luar kepada kerajaan negeri, bagaimanapun, surat penyerahan ini sangat meragukan dan boleh dicabar kesahihannya di mahkamah, kami percaya tandatangan milik Mohammed Salleh itu palsu.

“Kami juga tidak teragak-agak untuk meminta pihak berwajib seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk campur tangan dan menyiasat perkara ini,” katanya.

Mengikut sejarah, Mohamed Salleh Perang merupakan insan penting dalam kemodenan Johor kerana berperanan merancang pembangunan Johor sewaktu Sultan Abu Bakar Almarhum Tun Temenggong Raja Daing Ibrahim memerintah.

Sepanjang tempoh perkhidmatannya dari 1856 hingga 1912, Allahyarham pernah memegang jawatan sebagai jurutulis di pejabat kerajaan dan pesuruhjaya polis negeri selain turut terlibat dalam menyelesaikan isu persempadanan Johor-Pahang, membantu membuka bandar Mersing, Bandar Maharani di Muar dan Batu Pahat serta mengetuai penyelesaian perang Jementah.

Pada 1886, Allahyarham menerima Anugerah Bintang Seri Paduka Mahkota Johor dengan gelaran Dato’ Bentara Luar.

Pada sidang media Januari lalu, Mohd. Zaini menuntut kerajaan negeri memberi kerjasama dengan menyerahkan harta pusaka milik Allahyarham yang didakwa dianggar bernilai sehingga RM300 bilion dengan penyerahan harta itu harus dilakukan secara jujur, amanah dan berhemah kerana pihaknya mempunyai dokumen sah seperti geran tanah membuktikan Allahyarham masih mempunyai aset di beberapa daerah yang sehingga kini masih belum dipindah milik kepada waris berhak.

Beliau mendakwa aset-aset itu termasuk di Johor Bahru, Kota Tinggi, Iskandar Puteri, Gunung Pulai dan Sungai Tiram. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: