Ahad, 28 April 2019

Kerjasama Pas-UMNO lebih baik dari Bersatu

Hashim Jasin 

ALOR SETAR  - Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin mendedahkan pada peringkat awal mereka bimbang jika kerjasama antara UMNO dan Pas tidak diterima akar umbi sekali gus dikhuatiri mengundang perpecahan.

Bagaimanapun katanya, kerjasama atau taawun antara Pas dan UMNO itu menunjukkan perkembangan positif apabila diterima baik oleh sayap parti itu termasuk di peringkat akar umbi.


Kata beliau, pendekatan yang digunakan Pas iaitu menolak terlebih dahulu keburukan dengan mencari kebaikkan hasil kerjasama itu akhirnya diterima dan difahami semua peringkat parti itu.


“Di peringkat awal, hati saya bimbang, takut usaha penyatuan ini boleh membawa pecah belah terhadap Pas. Kami termasuk Presiden Pas berbincang dan meninjau keadaan sama ada kerjasama itu diterima atau sebaliknya.


“Perkara itu, kemudian dibawa ke muktamar. Saya menyelinap masuk untuk mendengar perbahasan sayap pemuda, wanita, Dewan Ulama. Alhamdulilah semua peringkat positif untuk melihat kerjasama tersebut,” katanya ketika berucap pada majlis Penyatuan Ummah di Kompleks Pas Kedah di sini, malam tadi.


Yang turut hadir, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Pesuruhjaya Pas negeri, Dr. Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan pemimpin-pemimpin setempat kedua-dua parti itu.


Tambah Hashim, selain UMNO, Pas juga pernah mengadakan perbincangan dengan PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).


Katanya, setelah berbincang dan diteliti, daripada ketiga-tiga parti itu, kerjasama dengan UMNO adalah lebih memberi faedah dan manfaat kepada umat Islam.


“Hari ini, kerjasama ini semakin kukuh dan diterima baik oleh pemimpin serta ahli kedua-dua parti ini,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: