Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad percaya pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan menjadi medan sebenar bagi rakyat menilai kerajaan pimpinannya.
"Kita bila jadi kerajaan, kita harus menjangka untuk dikritik dan hilang populariti.
"Bagaimanapun, pilihan raya berbeza. Semasa pilihan raya, pengundi akan membuat penilaian yang sewajarnya mengenai siapa yang sesuai untuk mentadbir.
"PRU15 lama lagi. Dalam masa itu kita akan lakukan lebih banyak perkara," katanya di Putrajaya petang ini.
Kaji selidik yang dilakukan Merdeka Centre baru-baru ini mendapati sokongan terhadap Mahathir dan kerajaan merosot sejak Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan pada pilihan raya umum lalu.
Kajian itu mendapati hanya 46 peratus rakyat berpuas hati dengan kepimpinan Dr Mahathir Mohamad manakala hanya 39 peratus berpuas hati terhadap pentadbiran PH.
Diminta mengulas kenyataan Presiden PKR, Anwar Ibrahim bahawa sokongan kepada kerajaan merosot kerana dilihat tunduk kepada golongan elit bandar, Mahathir tidak bersetuju dengan pendapat tersebut.
"Itu dia punya opinion (pandangan). Dia berhak mempunyai pandangan, saya ada pandangan saya sendiri," kata Mahathir yang juga pengerusi Bersatu.
Bagaimanapun, Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Wan Saiful Wan Jam sebelum ini menyokong pendapat Anwar dengan mengatakan kerajaan kini dipandu oleh mereka yang berada dalam keselesaan.
Wan Saiful berkata, kumpulan ini yang digelarnya sebagai "Busa Bangsar," hanya memberi tumpuan kepada pembaharuan institusi berbanding isu-isu melibatkan rakyat terbanyak seperti kos sara hidup.
Namun beberapa pihak seperti bekas anggota parlimen PKR, N Surendran menyangkal pendapat tersebut dengan mengatakan pembaharuan institusi bukan merupakan isu elit dan turut memberi kesan kepada golongan miskin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan