Khamis, 25 April 2019

Anak mendiang Wong jadi calon DAP di PRK Sandakan


 
Vivian Wong Shir Yee. (Gambar Facebook)
SANDAKAN: Vivian Wong Shir Yee, anak mendiang anggota Parlimen Sandakan Stephen Wong Tien Fatt, diumumkan sebagai calon untuk pilihan raya kecil (PRK) Sandakan atas tiket DAP.
Pengumuman itu dibuat Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal hari ini.

Wong, 30, berhasrat untuk meneruskan perjuangan mendiang bapanya untuk memajukan ekonomi Sandakan.

“Seperti mendiang bapa, saya akan selalu turun padang untuk memahami masalah rakyat tanpa mengira kaum.

“Saya yakin dengan kerjasama kerajaan baru, Sandakan akan dapat dibangunkan dengan keseluruhannya dan saya akan menjadikan Sandakan kawasan yang dinamik,” katanya selepas diumumkan sebagai calon pada program “Townhall Bersama Rakyat”.

Wong merupakan anak bongsu daripada 4 beradik, berkelulusan sarjana muda dalam perhubungan awam dari Universiti Murdoch, Australia, dan terlibat dalam arena politik sejak 2012 menerusi DAP.

Anak kelahiran Sandakan itu, yang pernah bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Sung Siew, menjadi pegawai khas bapanya ketika menjadi menteri kesihatan dan kesejahteraan rakyat Sabah dan aktif dalam aktiviti sosial.

Kerusi Parlimen Sandakan kosong selepas Wong meninggal dunia akibat serangan jantung pada 28 Mac lepas.

Penamaan calon ditetapkan pada 27 April ini, manakala hari pengundian awal pada 7 Mei dan hari mengundi pada 11 Mei.

Tiada ulasan: