Jumaat, 26 April 2019

PERLEMBAGAAN BATAL : PANDANGAN MAHATHIR – AZIZ BARI



Dakwaan Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa Perlembagaan negeri Johor dan Terengganu terbatal apabila Persekutuan Tanah Melayu terbentuk sekadar pandangan Perdana Menteri.

Pakar Perlembagaan, Dr. Abdul Aziz Bari berkata justeru pandangan tersebut dilihat tidak penting sama ada benar ataupun tidak.

Katanya pandangan tersebut berbeza dengan keputusan mahkamah yang mempunyai kuasa untuk mengenakan hukuman.

“Jadi tidak patut timbul rasa cemas dengan pandangan Perdana Menteri itu,” ujar Aziz lapor media di Ipoh, Perak pada Khamis.

Dalam perkembangan sama, Aziz turut berkata terdapat pandangan Mahathir yang jelas salah  dan tidak mengikut Perlembagaan seperti dalam isu peranan Yang di-Pertuan Agong dalam pelantikan hakim beberapa hari lalu.

“Dalam isu ini, Yang di-Pertuan Agong perlu berbincang dengan Majlis Raja-Raja dan tidak hanya mengikut nasihat Perdana Menteri,” katanya.

Selepas berlaku pertelingkahan dengan istana Johor berkaitan isu pemilihan menteri besar dan anggota majlis mesyuarat negeri, Tun Dr. Mahathir menerusi catatan dalam laman blog beliau, chedet.cc menjelaskan Perlembagaan Negeri Johor dan Terengganu terbatal apabila Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dibentuk.

Mahathir berkata, kegagalan mematuhinya akan menidakkan kedaulatan undang-undang.


Tiada ulasan: