Rabu, 17 April 2019

Mayat bayi dijumpai di masjid, ketika jemaah hendak solat Subuh

Raffi Bachik, Astro Awani
Mayat bayi dijumpai di masjid, ketika jemaah hendak solat Subuh
Keadaan mayat bayi berbalut kain batik yang ditemui jemaah masjid. - Astro AWANI
 
 
MELAKA: Mayat seorang bayi lelaki yang dipercayai baharu berusia tiga hari dijumpai bersama sekeping nota bertulis di Masjid Asy Syakirin, Pasir Puteh, Bachang di sini, Selasa pagi.

Kejadian sekitar 6.30 pagi itu, bayi berkenaan ditemui oleh qariah yang ingin menunaikan solat Subuh dalam balutan kain batik dengan keadaan masih bertali pusat dan mempunyai kesan darah pada hidung.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, berdasarkan nota yang ditulis atas kertas putih, bayi malang itu dipercayai berusia tiga hari dan dilahirkan pada Sabtu lalu.
 
“Kita dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh orang awam yang menghubungi Balai Polis Malim pada pukul 6.45 pagi.

“Berdasarkan nota ditinggalkan bayi itu baharu berusia tiga hari dan dipercayai telah meninggal dunia dalam tempoh dua jam sebelum ia dijumpai berdasarkan keadaan mayat yang masih baharu dan belum mengeras,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut Afzanizar, selain pendarahan pada hidung, terdapat kesan lebam kehitaman di muka dan bahagian badan bayi itu.

Susulan itu, pihak polis berjaya menahan seorang wanita dipercayai ibu bayi itu, berusia 20 tahun di sebuah rumah di kampung Pasir Puteh, Bachang di sini sekitar 2 petang Selasa.

Tambah beliau, siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian dan ibu bayi berkenaan disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran. 
 
 

Tiada ulasan: