Khamis, 25 April 2019

PM diminta tak panjangkan pertelingkahan dengan Johor

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

Tun M diingatkan tak dengar nasihat salah: Majlis Belia Negeri Johor


BANGI– Majlis Belia Negeri Johor memohon agar Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad Malaysia tidak mendengar nasihat yang salah daripada mana-mana pihak kerana bimbang ia boleh menghakis kepercayaan rakyat jika perkara ini berterusan.

Presidennya, Md Salleheen Mohamad berkata, pesanan itu diutarakan ekoran kebelakangan ini, Dr Mahathir dilihat selalu mengeluarkan kenyataan yang tidak tepat sedangkan semua sedia maklum itu bukan kendirinya yang sebenar.

“Apabila Tun mengatakan bahawa Undang Undang Tubuh negeri Johor 1895 dan Terengganu 1911 terbatal hanya disebabkan oleh Perlembagaan Persekutuan, ia amat memeranjatkan kerana Tun seorang yang berpengetahuan dan berpengalaman luas, apatah lagi Tun merupakan seorang yang amat teliti.

“Kesilapan seumpama ini dikhuatiri akan menyebabkan rakyat Malaysia terutamanya anak muda yang celik IT akan hilang rasa hormat dan melupakan jasa jasa yang pernah Tun lakukan selama 22 tahun,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Dr Mahathir dalam laman blognya, mendakwa bahawa Perlembagaan negeri Johor dan Terengganu terbatal apabila Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan.

Oleh itu, katanya, pada 9 Mei 2018, rakyat sudah mengundi untuk memilih Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

“Adalah penting bahawa semua orang menghormati Perlembagaan dan mematuhinya. Kegagalan berbuat demikian akan menafikan peraturan undang-undang,” katanya.

Kenyataan Mahathir itu dipercayai dibuat selepas pertelingkahan dengan istana Johor dalam isu pemilihan menteri besar dan anggota majlis mesyuarat kerajaan negeri (exco).

Mengulas lanjut, Md Salleheen berkata, isu di Johor telah selesai apabila menteri besar dan barisan exco kerajaan negeri mengangkat sumpah tempoh hari.

Maka dengan itu, beliau menegaskan, sebagai pemimpin nombor satu negara, Dr Mahathir tidak perlu lagi memanjangkan perkara ini.

“Sewajarnya Tun dan barisan Kabinet fokus mencari formula terbaik untuk memastikan kos sara hidup rakyat tidak akan terus meningkat, di samping memastikan ekonomi negara terus kukuh bagi membolehkan kerajaan menunaikan segala janji manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 yang lepas.

“Dengan cara sedemikian, barulah rakyat mendapat manfaat sebenar hasil daripada memilih Pakatan Harapan sebagai kerajaan yang baharu,” katanya.

Selain itu, Md Salleheen turut berharap agar kerajaan sentiasa menjalinkan hubungan yang baik dengan pihak istana sama ada di peringkat persekutuan mahupun negeri bagi memastikan kerancakan perancangan pembangunan dan program rakyat berjalan dengan lancar.


Tiada ulasan: