Zamri Othman berkata reaksi terhadap isu itu dibesar-besarkan. Beliau menambah bapa Vivian, Stephen Wong, yang juga wakil rakyat sebelum ini, juga pernah bergoyong-royong membersihkan perkuburan Islam.
Vivian dikritik beberapa orang di Facebook yang mendakwa dia melakukannya untuk memancing undi.
Beliau bagaimanapun berkata dia tidak berniat untuk mencetuskan sebarang ketegangan apabila membersihkan perkuburan Kampung Sim-Sim itu.
“Bapa saya sentiasa mahu pastikan perkuburan itu dalam keadaan bersih, dan kawan-kawan kami yang beragama Islam juga mengutamakan kebersihan. Saya hanya mahu teruskan amalan itu,” katanya.
Beliau berkata aktiviti seperti itu suatu kebiasaan.
“Tetapi dalam isu ini, selepas ini saya akan lebih berhati-hati. Saya tak tahu ini boleh menyebabkan masyarakat bertengkar,” katanya.
Zamri, yang menetap di Sim-Sim sejak lebih 40 tahun lalu berkata, dia terharu melihat Vivian membersihkan perkuburan itu.
“Keluarga saya tiada masalah dia membersihkan kubur itu,” katanya. Beliau berkata ibu bapanya ditanam di situ.
“Kenapa amalan baik ini perlu ditularkan? Jangan jadikan ia suatu masalah sebab Stephen juga buat tahun lepas. Kami anggap Vivian seperti adik.
“Membersihkan perkuburan Islam bukanlah masalah. Kepimpinan DAP juga terlibat dalam gotong-royong sebelum ini,” katanya kepada pemberita di Sandakan hari ini.
Ketua Amanah Sabah, Haris Alumidin juga menyokong Vivian, mengingatkan rakyat Sabah menolak isu-isu yang boleh membawa kepada ketegangan kaum dan agama.
“Kami menggesa calon-calon jangan sentuh isu kaum kerana kita tidak mahu apa yang berlaku di tempat lain datang ke Sabah,” katanya.
Calon PBS, Linda Tsen enggan mengulas isu itu kerana dia tidak mahu menyerang peribadi Vivian.
“Itu bukan gaya saya atau PBS,” katanya ketika ditemui di Sandakan hari ini. “Saya ucapkan selamat maju jaya kepadanya.”
Pegawai Perhubungan Media DAP Sabah, Ginger Phoong menyifatkan serangan terhadap Vivian sebagai gimik politik.
“Gotong-royong tak pernah jadi masalah sebelum ini kerana ia tak menjana publisiti, seperti kegiatan pagi tadi,” katanya dalam kenyataan semalam.
“Ia dilakukan dengan rendah hati dan niat baik. Saya kesal gotong-royong itu dipolitikkan semasa kempen pilihan raya,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan