PETALING JAYA: Tahap kepuasan pengundi terhadap pencapaian Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri merosot daripada 71% yang dicatatkan pada Ogos 2018 kepada 46% pada Mac tahun ini, menurut kajian Merdeka Center.
Kajian itu juga mendapati hanya 39% pengundi bersikap positif terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) berdasarkan bancian yang dijalankan badan penyelidik bebas itu di seluruh negara pada Mac.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ni, Merdeka Center berkata, kemerosotan sokongan awam kepada kerajaan persekutuan boleh dilihat pada peningkatan jumlah pengundi yang beranggapan “negara menuju ke arah yang salah” daripada 24% pada Ogos 2018 kepada 46% pada Mac 2019.
“Hasilnya kepuasan umum terhadap cara kerajaan mengurus ekonomi menurun daripada 60% pada Ogos 2018 kepada 40% pada Mac 2019,” katanya.
Kajian itu juga mendapati hanya 34% pengundi percaya negara berada di landasan yang betul, berbanding 55% pada Ogos 2018.
Sentimen sama didapati lebih rendah dalam kalangan orang Melayu yang menyaksikan hanya 24% percaya negara bergerak ke arah yang betul.
Dalam pada itu, kajian tersebut mencatatkan 67% pengundi percaya kerajaan PH memerlukan lebih masa untuk menunaikan janji pilihan raya mereka.
“Konsisten dengan kajian sebelum ini, keadaan ekonomi kekal sebagai isu paling penting kepada pengundi melibatkan 67% responden.
“Ini diikuti oleh kebimbangan berhubung isu hubungan antara kaum seperti kontroversi petempatan semula kuil Hindu di USJ, serta debat mengenai cadangan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) tahun lepas,” kata kenyataan itu lagi.
Kajian terbaru itu itu juga mendapati rakyat berbeza pendapat berhubung beberapa dasar dan inisiatif kerajaan, antaranya 69% tidak bersetuju dengan rancangan menghapuskan hukuman mati mandatori; 85% menyokong undang-undang baru terhadap ucapan kebencian serta 55% bersetuju dengan rancangan untuk mengenakan cukai ke atas minuman bergula.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan