KUALA LUMPUR – UMNO tidak boleh berharap kepada undi protes rakyat membenci Pakatan Harapan (PH) semata-mata.
Veteran dan Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahril Samad berkata, parti juga kena ada cadangan munasabah bagi mengatasi masalah rakyat sekarang.
Menurutnya, kejayaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) sebelum ini termasuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih dan Rantau membuktikan kelemahan pemimpin-pemimpin muda PH menarik sokongan pengundi muda walaupun mereka berjawatan menteri dan wakil rakyat.
“Keadaan hari ini jelas dari hasil bancian Merdeka Centre yang menunjukkan tahap kepercayaan rakyat kepada kerajaan PH pada akhir suku pertama 2019 telah merudum ke paras 39 peratus,” katanya dalam kenyataan di media sosialnya hari ini.
Dalam pada itu, Shahrir juga memuji Pergerakan Pemuda UMNO Johor semasa sesi pemukiman sayap berkenaan baru-baru ini.
“Lima naskah (buku) saya bawa sekali ke Desaru untuk saya hadiahkan pula kepada Pemuda UMNO Johor supaya pemimpin-pemimpin muda Johor sentiasa terbuka kepada pandangan dan pemikiran yg berasaskan kepada fakta dan realiti ekonomi.
“Rupa-rupanya, Pemuda UMNO Johor lagi ke depan dari saya. Saya bawa buku JSEM je. Tapi mereka berjaya bawakan penulis-penulis rencana dalam buku itu untuk berdepan dalam sesi sebelum sesi saya. Hebat Pemuda UMNO Johor kerana lebih ke depan dari si-otai satu ni. Macam ni lah utk membuktikan bahawa generasi muda UMNO sentiasa di hadapan,” katanya.
Beliau seterusnya mahu Permukiman Pemuda UMNO Johor dapat melakarkan garisan suatu Manifesto Orang Muda supaya arus perdana politik negara terus dikuasai oleh Pemuda UMNO dan BN.- MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan