Selasa, 30 April 2019

TMJ mohon maaf dakwa saya beli Porsche guna dana Kelantan - Annuar

MALAYSIAKINI

   
Setiausaha Agung Umno Annuar Musa mendakwa bahawa Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim pernah memohon maaf daripadanya selepas kekhilafan mendakwanya membeli sebuah Porsche Panamera dengan dana untuk Kelantan.

Katanya, beliau kagum bahawa pewaris Sultan Johor itu berhati mulia dan sanggup berbuat demikian.
“(Saya) tiada isu dgn TMJ dlm hal ini. Baginda ada mohon maaf dengan saya atas kekhilafan dan saya kagum.

“Seorang Tengku Mahkota tapi berjiwa mulia dan sanggup berbuat demikian, sedangkan saya hanya seorang rakyat biasa.

“Itu TMJ yang saya kenali. Beliau berprinsip dan punya pendirian sendiri,” katanya dalam ciapan di Twitter hari ini.

Annuar berkata demikian ketika menjawap pengguna Twitter lain, termasuk seorang blogger pro-Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, yang menimbulkan isu kereta itu dan bagaimana pemimpin Umno tersebut enggan mengulas.

Pada 2017, Tunku Ismail berkata Annuar sepatutnya menggunakan dana yang diperuntukkan untuk merampas semula Kelantan dari PAS, untuk kebajikan rakyat dan "bukannya membeli Porsche Panamera".

Tunku Ismail berkata demikian selepas Annuar, yang merupakan bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KFA), menuduh Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) membayar gaji yang terlalu tinggi kepada pemain.

Ketika itu, Ketua Pemuda Bersatu, Syed Saddiq Abdul tampil mendesak Annuar memohon maaf kepada Tunku Ismail kerana menyinggung perasaan baginda.

Tunku Mahkota Johor bertindak balas dengan mengingatkan pemimpin Umno itu agar jangan cuba 'menjolok sarang tebuan' kerana kelak buruk padahnya, lebih-lebih lagi dengan tarikh keluar mengundi pada pilihanraya umum ke-14 sudah semakin hampir.

Pada pilihan raya umum Mei tahun lalu, Johor, yang merupakan tempat kelahiran Umno dan kubu kuar parti itu tumbang ke tangan Pakatan Harapan.

Walau bagaimanapun, keadaan kini menjadi sebaliknya, dengan Annuar yang membela Tunku Ismail daripada kritikan Syed Saddiq.
Syed Saddiq, yang merupakan belia dan menteri sukan, jengkel dengan kenyataan Tunku Ismail yang menyatakan bahawa perdana menteri perlu diubah.

Beliau mempersoalkan mengapa putera mahkota Johor itu tidak menggesa bekas perdana menteri, Najib Razak digantikan sebagai perdana menteri ketika Malaysia dilabel sebagai negara 'kleptokrasi'.

Sebaliknya, kata beliau, Tunku Ismail kini meminta Dr Mahathir yang diberi mandat oleh rakyat pada pilihan raya umum lalu digantikan.

Beliau turut membandingkan tindakan Tunku Ismail meletakkan jawatan sebagai presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dengan perdana menteri yang mahu memulihkan negara.

Semalam, adinda Tunku Ismail, Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar, dalam satu hantaran di Instagram, memberi gambaran melalui media sosial kemungkinan akan bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) ke-15.

Tunku Idris juga mendedahkan satu kaji selidik memperlihatkan bahawa 75 peratus daripada responden mahu beliau bertanding di Muar, yang mana penyandangnya adalah Syed Saddiq.

LIHAT TWITTER DI SINI


Tiada ulasan: