Rabu, 24 April 2019

Matrikulasi: Pengambilan ditambah…tapi kuota kekal 90:10

THE MALAYSIAN TIMES



KUALA LUMPUR: Kabinet hari ini memutuskan kuota 90 peratus untuk pelajar Bumiputera dan 10 peratus untuk pelajar bukan Bumiputera dikekalkan.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan media hari ini berkata, perkara tersebut diputuskan selaras dengan visi asal Program Matrikulasi KPM bagi menggalakkan pelajar Bumiputera melanjutkan pelajaran dalam bidang sains.

“Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah membangkitkan isu berkaitan kemasukan pelajar ke Program Matrikulasi KPM di dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 24 April 2019 (Rabu).

“Usaha ini dilaksanakan bagi memastikan pelajar-pelajar cemerlang terus mendapat peluang terbaik bagi melanjutkan pendidikan ke peringkat lebih tinggi.

“Susulan daripada itu, Jemaah Menteri bersetuju untuk menambah bilangan kemasukan pelajar ke Program Matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kepada 40 ribu tempat, berbanding 25 ribu sebelum ini,” menurut menterinya, Dr. Maszlee Malik.

Tambah beliau, kerajaan Pakatan Harapan melihat wujud keperluan utama untuk menambah bilangan pelajar dalam bidang sains dan kapasiti yang ada pada Program Matrikulasi wajar dimaksimumkan untuk tujuan ini.

“Keputusan ini juga dilihat sebagai kaedah terbaik dalam memastikan Program Matrikulasi KPM dapat memberikan peluang pendidikan kepada semua kaum.

“Berkaitan dengan kos berikutan pertambahan jumlah pelajar ini, KPM akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan dalam masa terdekat bagi mendapatkan jalan penyelesaian terbaik.

“Jemaah Menteri juga telah meminta KPM untuk menilai pendekatan strategik yang bersesuaian termasuk menggunakan premis dan kepakaran di Institut Pendidikan Guru (IPG) bagi menampung pertambahan yang diputuskan ini,” katanya.

Tiada ulasan: