PERMATANG PAUH:
Golongan LGBT antara kumpulan masyarakat harus didekati dan dibimbing
ke jalan hidayah sebagaimana dakwah disampaikan kepada golongan lain.
Demikian mesej dari
penganjuran forum "LGBT: Ancaman kepada akidah Islam" anjuran bersama
Lajnah Dakwah PAS Pulau Pinang dan Muslimat PAS di Masjid Seberang Jaya,
di sini kelmarin.
Pengerusi Persatuan Insaf
Pahang, Mohamed Bakri Abu Bakar selaku ahli panel mengakui, memang sukar
mendekati mereka ini yang begitu sensitif terutama terhadap cacian
berkenaan imej diri.
Pun demikian serunya,
perbezaan golongan itu dari anggota masyarakat lain tidak harus menjadi
penafian untuk dilaksanakan tanggungjawab dakwah secara berhikmah dan
menyantuni.
Beliau turut menekankan
kepentingan peranan institusi keluarga dalam pembentukan anak-anak dan
mengesan masalah luar biasa yang ada sedari usia mereka masih muda untuk
pembetulan.
Tegasnya, kepincangan
institusi keluarga menyebabkan anak-anak mencari kasih sayang di luar
lingkungan anggota keluarga dan berkongsi masalah diri bersama pihak
lain.
Pengarah Pembangunan Mahasiswa
Luar Negara Pemuda PAS Malaysia, Prof Madya Dr Muhammad Ibrahim pula
berkongsi pendekatan ilmu dalam menangani isu golongan berkenaan.
Serunya, pendakwah mesti menggunakan pendekatan 'reach out community' kerana golongan tersebut juga perlu dipimpin, sedangkan dakwah rutin di masjid melibatkan golongan sedia baik.
Kemukanya, antara pengalaman
beliau bersama sahabat lain adalah mewujudkan kelas al-Quran, solat
fardu dan kem ibadah yang menjadi perubatan holistik membawa mereka
kembali ke pangkal jalan.
Golongan tersebut katanya,
turut dilatih dengan kursus jenazah bertujuan menguruskan jenazah
maknyah memandangkan sering kali timbul polemik untuk menanganinya
apabila berlaku kematian.
Begitu juga ujarnya, golongan
ini turut ditugaskan dengan kajian berkaitan penyakit merbahaya dan
diminta mengadakan pembentangan mengenainya demi manfaat dan kesedaran
sesama mereka.
Ketika sama maklum Dr
Muhammad, kebajikan golongan tersebut turut dijaga menerusi pemeriksaan
kesihatan memandangkan mereka sentiasa dalam risiko penyakit berjangkit.
Beliau turut menyeru
masyarakat untuk menawarkan peluang pekerjaan halal kepada golongan
tersebut supaya mereka dapat membebaskan diri dari 'lorong-lorong',
sekali gus mengatasi masalah.
Mengakui cabaran, pensyarah
muda ini mengajak pendakwah mendekati golongan tersebut dengan ikhlas,
sabar dan istiqamah, selain menaja umrah sebagai usaha memandu mereka ke
jalan hidayah.
Moderator forum, Dr Norazlina
Zakaria pula mengaitkan kepentingan menyelamatkan golongan ini dari
terikut perjuangan kebebasan tanpa batas yang dibawa golongan fikrah
Liberal. - HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan