SEORANG peniaga dijatuhi hukuman denda RM2,000 di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini atas dua pertuduhan menggunakan gelaran datuk tanpa kebenaran.
Bukan itu sahaja, tertuduh, Mohd Badrul Hisham Mohamed, 40, dari Johor turut berdepan hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.
Keputusan itu dibuat Majistret Abdul Hayyi Salim selepas tertuduh didapati bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 3 (1) (a) Akta Lambang dan Nama 1963.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan gelaran datuk pada kad perniagaan dan kad nama untuk tujuan perniagaan, sedangkan belum dikurniakan gelaran atau menerima apa-apa kebenaran bertulis.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di kedai makan di Wakaf Tengah, Kuala Nerus pada 7.30 malam pada 21 November 2016.
Selain itu, tertuduh turut didakwa melakukan kesalahan sama apabila menggunakan gelaran datuk untuk mendaftarkan perniagaan di Pejabat Suruhanjaya Syarikat Malaysia Cawangan Kuala Terengganu antara 8 pagi hingga 3 petang pada 12 Ogos 2014.
Bagi setiap kesalahan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM1,000 atau tiga bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Ka Full manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan