ISMA WEB
Seorang individu dipancung dan badannya kemudian digantung
JEDDAH
– Arab Saudi sudah melaksanakan hukuman pancung ke atas 37 individu
yang ada kaitan dengan kegiatan pengganas, semalam, kata Kementerian
Dalam Negerinya.
Tindakan itu adalah yang terbesar membabitkan sejumlah pesalah yang dipancung dalam masa sehari sejak tiga tahun lalu.
“Hukuman
mati telah dilaksanakan… ke atas sejumlah pesalah yang mengamalkan
ideologi ekstrem pengganas, dan menubuhkan sel pengganas untuk menganggu
keselamatan, selain menyebabkan panik serta mencetuskan perselisihan
faham antara pengikut ajaran Islam,” kata kementerian itu.
Hukuman
pancung itu dilaksanakan di Riyadh, Makkah, Madinah dan di wilayah
Qassim, lapor agensi berita Arab Saudi, SPA. Semua pesalah yang
menjalani hukuman mati itu adalah rakyat Arab Saudi.
SPA juga
melaporkan seorang lelaki, Khaled Abdelkarim Saleh al-Touijri,
digantung. Biasanya, pesalah akan dipancung terlebih dahulu, dan
kemudian badannya akan digantung untuk beberapa waktu di khalayak.
Hukuman
pancung dan kemudian digantung hanya dikhaskan kepada jenayah paling
serius dilakukan, dan Arab Saudi mula melaksanakannya sejak 2013 lalu.
Mengikut
data yang direkodkan SPA, sekurang-kurangnya 100 individu dari pelbagai
negara menjalani hukuman pancung di Arab Saudi, sejak awal tahun ini.
Jumlah
paling besar pernah dipancung dalam tempoh sehari ialah pada 2 Januari
2016, membabitkan 47 individu yang didapati melakukan kegiatan
pengganas.
Sementara
itu, Amnesty International mengecam hukuman yang dilaksanakan ke atas 37
individu berkenaan, manakala satu kumpulan hak asasi berpangkalan di
United Kingdom – Reprieve – mendakwa lima daripada yang dihukum adalah
pelanggan mereka. – Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan