PETALING JAYA: Pemuda Umno menggesa kerajaan menjawab persoalan yang
timbul susulan daripada pemeteraian perjanjian projek Laluan Kereta Api
Pantai Timur (ECRL) dengan kerajaan China baru-baru ini.
Naib Ketua Shahril Hamdan berkata pengurusan kos kepada RM44 bilion
bukan menghairankan kerana jajaran baru tidak lagi memerlukan terowong
sepanjang 18km, pengurangan jarak dan beberapa buah stesen, serta
lanjutan tempoh pembinaan daripada 2024 kepada 2026.
Bagaimanapun, kerajaan perlu menjawab berapakah jangkaan “ridership”
harian ECRL itu apabila laluan diubah melalui Negeri Sembilan.
“Jajaran baru tidak lagi akan melalui kawasan Bentong dan
Gombak yang sebelum ini merupakan kawasan yang dijangka mendapat
‘ridership’ yang paling tinggi,” katanya.
Soalan itu salah satu daripada 4 soalan yang dikemukakan pemimpin Pemuda Umno itu di Facebook.
Shahril menarik perhatian kepada perkongsian secara bersama
pengendalian operasi dan penyelenggaraan ECRL dengan syarikat China
menerusi perjanjian baru itu.
Beliau mengingatkan pembacanya bahawa pengangkutan adalah aset
strategik negara, tetapi pentadbiran lepas dituduh menjual negara
walaupun perjanjian lama menetapkan ECRL 100% kendalian syarikat milik
kerajaan.
“Adakah dengan perkongsian 50:50 ini akan meletakkan aset strategik negara ini dalam apa-apa risiko pada masa hadapan?”
Shahril mengambil maklum kerajaan belum memuktamadkan jumlah pinjaman
yang akan diperoleh daripada bank milik kerajaan China, Export–Import
Bank of China.
Beliau berkata perjanjian sebelum ini hanya merangkumi kos pembinaan
Fasa 1 berjumlah RM39 bilion, dan ia diakui kerajaan hari ini.
“Bilakah jangkaan perjanjian baru akan dibuat dan adakah terdapat
kemungkinan kadar faedah akan dinaikkan dalam perjanjian baru nanti?”
Soalan terakhir yang Shahril mahu dijawab adalah kerajaan pernah ditawarkan kos pembinaan ECRL berharga RM10 bilion sahaja.
“Apa yang telah terjadi dengan tawaran ini dan mengapakah ianya tidak diterima oleh kerajaan?”
Pada Jumaat, Putrajaya mengumumkan hasil rundingan semula projek
dengan China Communications Construction Company, yang membawa kepada
perjanjian tambahan untuk meneruskan projek itu dengan beberapa
perubahan pada struktur dan kos.
Kerajaan berkata ia berjaya mengurangkan kos bagi Fasa 1 dan 2 ECRL
sebanyak RM21 bilion kepada RM44 bilion, daripada kos asal, RM65.5
bilion.
Pengkritik bagaimanapun mempersoalkan dakwaan penjimatan itu, mengatakan ia tidak tepat kerana saiz projek dikurangkan.
Jajaran baru ECRL kini bermula dari Kota Bharu dan berakhir di
Pelabuhan Klang, melalui Mentakab, Jelebu, Kuala Klawang, Bangi/Kajang
dan Putrajaya.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan