Rabu, 10 April 2019

Sultan Johor ada kuasa mutlak pelantikan menteri besar

Wartawan MalaysiaGazette
xsultan-Johor-681x453
Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

KUALA LUMPUR – Sultan Johor mempunyai kuasa mutlak untuk melantik menteri besar seperti mana mengikut Perkara 1, Undang-Undang Tubuh Negeri Johor.

Tetapi,  dalam isu pelantikan itu, Sultan Johor tidak perlu bertindak atas nasihat mana-mana pihak.

Namun, secara konvensyen, parti yang menang akan menghantar beberapa nama calon menteri besar kepada Sultan Johor untuk pertimbangan baginda.

Dalam hal ini, Pakatan Harapan perlu menghantar nama-nama calon tersebut, kata Peguambela dan Peguamcara, Ahmad Solehin Abd. Ghani.

Dalam keadaan tersebut, Sultan Johor akan meneliti calon-calon tersebut dan hanya akan melantik jika calon tersebut dipersetujui oleh Tuanku sendiri.

“Jika sekiranya calon-calon yang dihantar itu tidak dipersetujui oleh Sultan Johor, parti tersebut perlu menghantar cadangan nama calon yang lain sehingglah mendapat persetujuan dan perkenan baginda,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Perdana Menteri yang memaklumkan pelantikan Menteri Besar Johor adalah satu keputusan politik.

Isu pelantikan menteri besar itu susulan peletakan jawatan Datuk Osman Sapian kelmarin.

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, dalam peruntukan Sultan Johor tidak ada peranan dalam melantik menteri besar sebaliknya ia ditentukan parti politik yang menang dalam pilihan raya.

Ahmad Solehin menyifatkan kenyataan itu sedikit angkuh dan mengelirukan.

“Maka, kenyataan untuk mengatakan bahawa Sultan Johor tidak mempunyai peranan dan kuasa untuk melantik Menteri Besar Johor adalah sangat tidak tepat, terpesong dan sengaja mengelirukan masyarakat mengenai tugas dan peranan Tuanku dalam sistem berkerajaan terutamanya di negeri Johor,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: