Rabu, 10 April 2019

Rakyat kita maut ditembak militan Abu Sayyaf

fazleen safina  

Jari meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak

SANDAKAN – Rakyat Malaysia yang diculik di perairan Pegasus Reef, Kinabatangan pada 6 Disember lalu, Jari Abdullah, meninggal dunia di Hospital Zamboanga, Filipina hari ini.

Khamis lalu, Jari terkena tembakan oleh anggota Abu Sayyaf, semasa cuba melarikan diri selepas pertempuran antara kumpulan penjenayah rentas-sempadan itu dengan tentera Filipina di Sulu.

Isteri Jari, Nadin Junianti Najiri, 25, berkata, perkara itu disampaikan sendiri oleh ibu mertuanya yang kini berada di Zamboanga.

“Petang semalam, ibu mertua bersama ipar ke Kota Kinabalu dan seterusnya ke Zamboanga bagi melihat keadaan suami dan awal pagi tadi antara jam 2 hingga 3 pagi, ibu mertua memberitahu suami saya sudah meninggal dunia,” katanya kepada pemberita.

Nadin berkata, hanya itu yang boleh dikongsi kerana tiada maklumat terkini berkaitan pergerakan membawa balik jenazah suaminya.

“Saya pun masih tunggu panggilan mereka (ibu mertua) bergerak mahu pergi sini, mereka pun tidak pasti bila balik (bergerak), cuma sekarang mereka sedang berurusan (proses penghantaran jenazah) dan saya pun bingung,” katanya lagi.

Nadin dalam pada itu redha dengan pemergian suaminya dan kini hanya mahu memberi fokus kepada tiga anaknya yang berumur antara setahun hingga tujuh tahun.

“Sebelum suami pergi (diculik) dia ingatkan saya untuk jaga anak, mengurus sekolah anak-anak, suami mahu saya besarkan anak-anak dengan pendidikan.

“Saya pun tidak sangka, itu hari terakhir saya jumpa dia dan itu pesanan terakhir dari dia,” katanya dengan nada sebak.

Mengingat kembali pesanan suaminya, Nadin berkata perkara itu menyedihkan hatinya berikutan anak perempuan berumur tujuh tahun itu tidak dapat bersekolah selepas rayuan mendaftar masuk ke sekolah ditolak.

“Kini anak lelaki berumur lima tahun sekolah tadika dan bongsu umur setahun,” katanya.

Sementara itu, Nadin berkata anak bongsu itu sering mencari dan memanggil-manggil bapanya.

“Kalau dia keluar ke pintu rumah dia panggil bapa! bapa!, saya bagi tahu saja bapamu keluar bekerja,” katanya lagi.

Selain Jari, turut diculik pada 6 Disember lepas, dua rakyat Indonesia, Heri Ardiansyah, 19, serta Hariadin,45 tahun.

Namun Jumaat lepas dalam pertempuran antara tentera dan penculik Abu Sayyaf di laut, Hariadin dilaporkan meninggal dunia manakala Heri berjaya diselamatkan. – Bernama


Tiada ulasan: