Jumaat, 5 April 2019

Pengusaha bas P Pinang dakwa ‘diganggu’ ulat tiket

Edward Lim menunjukkan beberapa laporan yang pernah dibuat 
kepada pihak berkuasa yang sehingga kini belum mendapat 
maklum balas.
 
GEORGE TOWN: Sekumpulan pengusaha bas ekspres mendakwa mereka diganggu ulat tiket menuntut komisyen bagi setiap tiket yang dijual sejak 2 tahun lalu.

Menurut mereka, kira-kira 60 ulat tiket menghampiri penumpang dan mengikut mereka sehingga ke kaunter tiket. Mereka meminta yuran rujukan antara RM12 hingga RM18 bergantung kepada destinasi.

Jurucakap bagi 15 pengusaha bas ekspres di Terminal Bas Sungai Nibong, Edward Lim berkata, mereka berulang kali mengadu kepada pihak berkuasa, tetapi tiada tindakan diambil.

“Saya fikir, mulai esok, kami tidak lagi menggunakan terminal ini untuk ambil penumpang. Kami akan tunggu penumpang di tepi jalan,” katanya pada sidang media semalam.
Beliau berkata, secara purata pengusaha bus hanya memperoleh RM20 daripada setiap tiket yang dijual. Katanya, mereka cuba berunding dengan ulat tiket untuk memberikan mereka RM7 bagi setiap tiket, tetapi mereka menolak tawaran tersebut.

Menurutnya, jika pengusaha bas enggan membayar komisen, ulat tiket akan membawa penumpang kepada syarikat bas yang bersedia memenuhi tuntutan mereka.

Lim mendakwa, hanya 2 syarikat sedia memenuhi tuntutan kumpulan ulat tiket berkenaan.
Terminal Bas Ekspres Sungai Nibong, Pulau Pinang. (Gambar 
Facebook Penang Kini)
“Tiga hari lalu, mereka hanya menjual 12 tiket sepanjang hari sedangkan jumlah tiket yang ada untuk dijual adalah 1,000.

“Ikut kiraan, kami terpaksa tanggung rugi RM100,000 disebabkan perbuatan ulat tiket itu,” katanya.
Lim berkata, pengusaha bas membuat 5 laporan: 4 kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat dan 1 kepada polis.

“Tiada tindakan diambil.”

Katanya, 15 syarikat bas di Terminal Bas Sungai Nibong kini hanya bergantung kepada keuntungan daripada jualan secara atas talian dan di kaunter terminal bas di Komtar.

Siasatan FMT menunjukkan terdapat kumpulan individu yang menggelar diri mereka sebagai “promoter”. Dalam iklan menerusi Facebook Penang Kini, mereka mendakwa menerima pas rasmi untuk tugas tersebut.

Bagaimanapun, sumber pengurusan di terminal itu menafikan mereka mengeluarkan pas tersebut.

Ia berkata pengurusan bertanggungjawab menjaga kebersihan dan perjalanan terminal, dan tiada kaitan dengan urusan bayaran komisen tiket

Tiada ulasan: