Jumaat, 5 April 2019

Malaysia akan tarik diri daripada Statut Rom




KUALA LUMPUR: Dr Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan Malaysia akan menarik diri daripada ratifikasi Statut Rom kontroversi yang dikritik pelbagai pihak, termasuk istana Johor.

Perdana menteri berkata, Kabinet membuat keputusan menarik diri daripada triti itu disebabkan kekeliruan, bukan kerana ia memudaratkan negara.

ICC ditubuhkan pada 2002 dan ditadbir mengikut Statut Rom yang berfungsi sebagai pelengkap undang-undang sedia ada di Negara Pihak untuk mendakwa individu melakukan jenayah antarabangsa seperti terkandung dalam Artikel 5 Statut Rom, iaitu pembunuhan etnik, jenayah terhadap kemanusiaan, jenayah perang dan pencerobohan.

Sebanyak 124 negara menjadi Negara Pihak kepada Statut Rom sehingga 4 Mac lalu, termasuk negara beraja seperti Jepun, United Kingdom dan Jordan.
Pada 23 Mac lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkata, Putrajaya melanggar Perlembagaan Persekutuan dengan menandatangani Statut Rom yang akan menjejaskan hak orang Melayu, institusi diraja dan kesucian Islam di negara ini.
Keesokannya, Mahathir dilaporkan berkata, Malaysia tidak boleh menerima beberapa syarat di bawah Statut Rom.
“Kita nak meratifikasi, tapi ada syarat tertentu yang mereka mahu lakukan di bawah Statut Rom yang kita tak boleh lakukan di sini.
“Kita tidak boleh menerima perkara lucu dalam Statut Rom, sama seperti negara lain membenarkan perkahwinan sejenis. Kami hanya boleh menerima perkara yang baik,” katanya pada 24 Mac lalu.

Tiada ulasan: