Rabu, 10 April 2019

Parti pilih, Sultan lantik MB

fazleen safina 

PM kata Sultan tidak mempunyai peranan memilih menteri besar

KUALA LUMPUR  – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pemilihan Menteri Besar (MB) Johor ditetapkan oleh parti yang menang pada Pilihan Raya Umum lalu, bukan sultan.

“Ini adalah perkara politik. Sultan tidak mempunyai peranan.

“Peranan (memilih menteri besar) terletak kepada parti yang menang untuk menentukan siapa yang memimpin,” katanya ringkas menjawab soalan wartawan yang mahu mengetahui siapa yang berperanan melantik Menteri Besar Johor yang baharu, ketika ditemui selepas merasmikan Forum Kewangan Islam di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895, Raja adalah orang yang berhak dan berkuasa untuk melantik Menteri Besar.

Semalam, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam laman Twitter baginda bertitah:

“Jangan lupa kuasa memilih Menteri Besar adalah hak mutlak Sultan.”

Mengulas mengenai calon MB Johor, Dr Mahathir berkata, pada masa ini, terdapat beberapa senarai calon untuk jawatan itu, namun ia akan mengambil sedikit masa untuk dinilai.

“Kita nak tentukan calon. Ada beberapa calon kita nak pilih tetapi ia ambil masa sedikit, tetapi kita akan pilihnya secepat mungkin,” katanya sambil menyatakan seorang pemangku MB akan dilantik tidak lama lagi.

Semalam, Dr Mahathir mengumumkan Datuk Osman Sapian telah meletakkan jawatan sebagai MB Johor.

Katanya, Osman menyerahkan dua surat peletakan jawatan itu kepadanya dalam satu pertemuan di Putrajaya dengan satu daripadanya kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
 
 

Tiada ulasan: