Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
Menteri bertanggungjawab patut ambil langkah bermaruah letak jawatan
BANGI
– Bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
menyifatkan kegagalan kerajaan meminda Perlembagaan Persekutuan bagi
mengembalikan status asal Sabah dan Sarawak, sebagai amat memalukan.
Turut
menyifatkan ia memberi tamparan hebat kepada kerajaan semasa, Khaled
berkata, situasi ini mendedahkan kepada masyarakat bahawa kerajaan gagal
mengadakan proses rujukan atau rundingan yang jelas, teratur dan
mencukupi sebelum usul itu dicadangkan.
“Ini
termasuklah tidak merujuk kepada Select Committee Parlimen berhubung
perkara tersebut. Sebaliknya, usul ini dibuat secara sangat tergesa-gesa
serta melulu.
“Sudah
menjadi norma dan kelaziman kerajaan Pakatan Harapan untuk melaksanakan
sesuatu tanpa kajian, rundingan dan pendekatan inklusif,” katanya dalam
satu kenyataan, hari ini.
Usaha
kerajaan meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengembalikan status asal
Sabah dan Sarawak seperti termaktub dalam perjanjian pembentukan
Malaysia pada 1963, gagal mendapat sokongan dua pertiga majoriti undi di
Dewan Rakyat, semalam.
Ini selepas
Rang Undang-Undang (RUU) itu kekurangan 10 undi untuk memperoleh
sokongan majoriti; 148 undi daripada 222 anggota Parlimen iaitu dua
pertiga persetujuan anggota Dewan Rakyat.
Mengulas
lanjut, Khaled berkata, kegagalan mendapat undian dua pertiga itu juga
boleh ditafsir sebagai satu undi tidak percaya kepada kerajaan semasa.
Ini kerana, katanya, adalah sangat jarang untuk sesuatu usul pindaan Perlembagaan menemui kegagalan.
“Amalan
kerajaan Barisan Nasional sebelum ini ialah untuk tidak membawa apa jua
pindaan jika ia tidak yakin akan mendapat jumlah undi yang mencukupi
terutamanya yang melibatkan pindaan Perlembagaan. Nyata Kerajaan Pakatan
Harapan telah hilang wibawa dan terus mengalami kesusutan kepercayaan
yang signifikan.
Sehubungan
itu, beliau menuntut Kabinet untuk bertanggungjawab setelah gagal
mendapatkan mandat melaksanakan pindaan yang menepati aspirasi sebenar
dan kesetaraan yang selayaknya untuk Sabah dan Sarawak.
“Menteri
yang bertanggungjawab harus mengambil langkah bermaruah untuk meletakkan
jawatan atas episod yang sangat memalukan ini,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan