Jumaat, 5 April 2019

Kerajaan digesa lebih terbuka dalam tetapkan tarif elektrik


Banyak pihak menggesa TNB mengurangkan kadar tarif elektrik 
berikutan kejatuhan harga arang batu dan gas yang digunakan 
dalam penjanaan tenaga berkenaan. (Gambar Facebook)
 
PETALING JAYA: Putrajaya perlu lebih telus dalam menentukan tarif elektrik, kata seorang penganalisis pelaburan berikutan gesaan banyak pihak supaya syarikat tenaga negara, Tenaga Nasional (TNB), mengurangkan tarifnya.

Ketua strategi di Philip Mutual Bhd, Phua Lee Kerk berkata, ini kerana harga arang batu dan gas, yang merupakan pembekal utama tenaga dalam penjanaan elektrik, kini menurun.

“Kerajaan perlu lebih telus apabila menetapkan tarif elektrik supaya pengurangan kos pengeluaran boleh dipindahkan kepada pengguna,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, pengguna mempersoalkan kenapa tarif elektrik kekal tidak berubah dalam suasana deflasi yang berlaku kini serta penurunan harga arang batu dan gas.
Kadar tarif elektrik semasa ialah 39.45 sen bagi setiap kilowatt jam (kWh).

Semalam, pengerusi TNB, Leo Moggie berkata, tarif elektrik tidak akan dikurangkan pada masa ini walaupun banyak pihak menggesa ia diturunkan berikutan kejatuhan harga bahan api yang digunakan dalam penjanaan kuasa elektrik.

Harga arang batu jatuh lebih 30% kepada AS$79 (RM322.50) setiap tan daripada AS$118 (RM479) pada Julai tahun lepas.

Bagi gas, harga semasa bagi penghantaran Mei merosot lebih 60% kepada AS$4.40 (RM17.95) bagi setiap juta unit thermal British (mmBtu) daripada AS$11.81 (RM48.18) pada September tahun lepas.

Suruhanjaya Tenaga menetapkan tarif 39.45 sen setiap kWh September lepas atas jangkaan harga arang batu dunia mencapai purata AS$75 (RM306) setiap tan dan gas AS$6.66 (RM27.20) setiap mmBtu.

Tiada ulasan: