LELAKI berusia 34 tahun maut selepas kereta pacuan empat roda Toyota Hilux dipandunya yang membawa bungkusan daun ketum terbabas sebelum melanggar rumah kosong di Kilometer 15.5 Jalan Kuala Nerang- Padang Sanai, Padang Terap hari ini.
Dalam kejadian 6.20 pagi itu, mangsa maut di tempat kejadian manakala penumpang lelaki berusia 17 tahun cedera.
Ketua Polis Daerah Padang Terap Deputi Superintendan Noh Idris berkata, siasatan mendapati mangsa dalam perjalanan dari arah Kuala Nerang menghala ke Padang Sanai namun sebaik tiba di tempat kejadian terbabas ke laluan sebelah kanan.
Menurutnya, mangsa yang gagal mengawal kenderaan merempuh sebuah rumah kosong menyebabkannya yang parah meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi penumpang cedera.
“Semakan juga mendapati lesen memandunya sudah tamat tempoh dan pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan itu menemui bungkusan daun ketum.
“Mayat dibawa ke Hospital Kuala Nerang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Noh berkata, pihaknya percaya mangsa cuba menyeludup daun ketum itu ke negara jiran dan membawanya pada awal pagi bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan