Jumaat, 5 April 2019

Tiada cabaran berkempen di Rantau, kata Tok Mat

Mohamad Hasan menunjukkan keratan majalah berhubung 
pembangunan yang dibuatnya untuk sekolah Cina ketika zaman BN.
 
SEREMBAN: Memasuki hari ke-7 berkempen, calon Barisan Nasional Mohamad Hasan menganggap tiada sebarang cabaran perlu dihadapinya dalam kempen mempertahankan kerusi Rantau.

“Cabaran berkempen? Tak ada cabaran apa-apa sebab selama ini pun saya bergerak dan jalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

“Setiap minggu saya adakan hari bertemu rakyat di pejabat saya di Pekan Rantau walaupun sibuk sebagai menteri besar ketika itu. Sebab itu saya dapat jalankan hubungan baik dengan penduduk,” katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan Utama BN, hari ini.

Mohamad berkata kebanyakan rakyat di Rantau sudah mengenali beliau dan ini memudahkan kempennya.
“Saya lahir dan membesar di sini, jadi tak ada apa-apa isu yang boleh ganggu gugat kempen saya.
Saya bukan orang luar datang bertanding di sini.

“Rakyat pun dah kenal saya, maka ia memudahkan kerja saya untuk menghadapi PRK,” katanya.

Dalam parkembangan lain, Mohamad turut menafikan dakwaan beliau tidak memberi bantuan kepada sekolah Cina ketika menjadi menteri besar.

“Dakwaan mengatakan saya tidak peduli terutamanya sekolah swasta Cina tidak betul, kalau baca dalam majalah, selama 14 tahun saya jadi menteri besar banyak sekolah Cina saya turun, pelbagai bantuan saya berikan tanpa mengira bangsa,” katanya.

Mohamad turut menyatakan penghargaan kepada komitmen PAS dalam membantu kempennya.

“Komitmen PAS tinggi, mungkin orang tak berapa nampak komitmen PAS sebab kita dah ubahsuai kempen dengan satukan jentera yang bergerak.

“PAS tak banyak cawangan dan penyokong di sini, jadi kita gabungkan sebagai jentera bersama,” katanya.

Mohamad turut mengesahkan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang akan menyertai ceramah perdana bersama beliau sebelum menutup kempen PRK.

Tiada ulasan: