PETALING JAYA: Penasihat tertinggi kerajaan Daim Zainuddin bertemu dengan Presiden PAS Abdul Hadi Awang semalam semasa lawatan ke Terengganu.
Daim, orang kepercayaan kuat Dr Mahathir Mohamad, turut mengadakan perbincangan dengan Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar.
“Banyak kisah dan cerita yang dikongsikan bersama dengan penuh kemesraan.
“Semoga Tun sentiasa diberikan kesihatan dan dirahmati oleh Allah,” kata Hadi menerusi Facebook yang turut memuat naik gambar pertemuan tersebut.
Daim adalah menteri kewangan ketika Hadi menjadi menteri besar Terengganu pada 1999, selepas pilihan raya umum menguatkan PAS di pantai timur.
Kerajaan PAS Terengganu pada masa itu menyaman kerajaan persekutuan dan firma minyak negara, Petronas kerana tidak membayar royalti minyak milik kerajaan negeri. Putrajaya kemudiannya membayar wang tersebut melalui agensinya sebagai “wang ehsan”.
PAS mengekalkan negeri itu selama sepenggal sebelum dirampas balik oleh Barisan Nasional.
Awal bulan ini, Terengganu berkata ia menerima bayaran royalti minyak sebanyak RM1 bilion dari Putrajaya tahun lepas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan