Isnin, 15 April 2019

Terima kasih ‘lelaki Melayu’, kata keluarga pencuci kereta

S Sukumarah bersama anak bongsunya, Hariaran dan peti seju
baru di rumahnya.
 
SHAH ALAM: M Kanagi memulakan paginya dengan mendoakan keluarganya seperti kebiasaan. Tetapi, beliau kini turut berdoa untuk seorang individu yang hanya dikenalinya sebagai “lelaki Melayu”.

Adi Kamal ialah lelaki baik hati yang muncul dalam doanya.

Kisahnya bermula dengan anak perempuan pasangan itu, Sarmini, mengetuk tingkap kereta Adi dan bertanya jika bapanya boleh mencuci keretanya.

Ketika S Sukumarah mencuci keretanya, Adi berborak dengan lelaki itu dan mendapat tahu nasib malang beliau yang terpaksa mencuci kereta untuk mencari sesuap nasi serta membeli buku yang diperlukan Sarmini di sekolah.
Adi memuat naik kisah keluarga itu di Facebook dan orang ramai mula menghulurkan sumbangan mereka.

Kini, hampir 3 bulan selepas catatannya tersebar, kehidupan keluarga itu berubah melebihi apa yang mereka boleh bayangkan.

“Saya selalu berdoa keluarga saya akan bebas daripada kehidupan susah dan mempunyai kesihatan baik. Doa saya dijawab dalam bentuk lelaki Melayu itu,” kata Kanagi kepada FMT baru-baru ini.

Rumah yang disewa keluarga itu di Padang Jawa tidak lagi kosong seperti dulu. Dengan sumbangan orang ramai, Sukumarah mampu membeli sebuah katil bertingkat supaya keluarganya tidak lagi perlu tidur di lantai.
S Sukumarah menunjukkan peralatan mencuci keretanya dan 
berharap dapat memulakan perniagaannya secepat mungkin.
Sekarang, mereka tidak lagi sakit perut akibat memakan makanan rosak kerana mempunyai sebuah peti sejuk.

Mungkin perkara paling penting bagi masa depan keluarga itu ialah Sukumarah mampu membeli peralatan mencuci kereta dan sebuah van terpakai untuk membolehkannya memulakan perkhidmatan mencuci kereta.

Katanya, beliau tidak pernah membayangkan boleh mendapat begitu banyak sokongan, bukan saja dalam bentuk sumbangan orang ramai, tetapi juga lawatan ke rumah oleh rangkaian restoran makanan segera KFC dan bekas perdana menteri, Najib Razak.

Beliau mengakui terharu dengan kemurahan hati semua pihak.

“Ada orang beritahu saya patut beli emas untuk isteri saya kerana sudah ada sedikit duit, tetapi saya tidak mempercayainya. Saya hanya beli apa yang kami perlukan dan saya simpan selebihnya untuk pendidikan anak saya.”

Sarmini tidak lagi perlu membantu bapanya, tetapi boleh menumpukan sepenuh perhatian terhadap pelajarannya.
S Sukumarah bersama isterinya, M Kanagi dan 2 anak mereka, 
Sarmini serta Hariaran.
“Sekarang, saya pulang ke rumah untuk belajar dan membantu ibu saya buat kerja rumah. Kami juga makan dengan kenyang sekarang. Sebelum ini, saya perlu kongsi makanan dengan adik saya, Hariaran.

“Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada semua orang yang membantu kami. Saya akan belajar bersungguh-sungguh kerana saya tidak lagi selalu penat. Pada masa depan, saya boleh membantu ibu bapa saya.”

Hariaran, 6, lebih banyak bercakap sekarang berbanding kali pertama FMT melawat keluarga itu. Beliau ke tadika buat pertama kali dalam hidupnya.

Beliau menunjukkan apa yang dipelajarinya dengan menghafal ABC dan 123 dalam mata pelajaran kegemarannya, Bahasa Malaysia.
Sarmini dan Hariaran gembira kerana mempunyai katil bertingkat baru.
Sukumarah dan Kanagi yang tidak pernah mendapat pendidikan sewajarnya, berharap dapat memulakan perniagaan mencuci kereta secepat mungkin, tetapi mereka tidak tahu cara untuk mendaftarkan perniagaan dengan Majlis Bandaraya Shah Alam.

Bagaimanapun, bagi Kanagi yang kini boleh menumpukan sepenuh masa untuk menjaga keluarganya, halangan birokratik ialah cabaran kecil berbanding apa yang dihadapi keluarganya ketika mereka terpaksa bermalam di perhentian bas.

Antara gambar keluarga di dinding, gambar Adi daripada satu keratan akhbar diletakkan di tempat paling penting.

“Satu-satunya perkara yang menyedihkan saya ialah walaupun kami sudah mendapat banyak bantuan dan sokongan kerana lelaki Melayu itu, kami belum lagi sempat mengucapkan terima kasih kepadanya secara peribadi,” kata Kanagi.

FMT sedang membantu keluarga itu menemui Adi.

LIHAT VIDEO DI SINI

Tiada ulasan: