Suspek utama tembakan rambang di dua masjid di New Zealand didakwa atas pembunuhan pada Sabtu, sehari selepas serangan yang membunuh 49 orang dan berpuluh-puluh yang lain cedera, menyebabkan perdana menteri negara itu berhasrat melaksanakan pembaharuan undang-undang terhadap pemilikan senjata.
Brenton Harrison Tarrant, warganegara Australia berusia 28 tahun, muncul di Mahkamah Daerah Christchurch dan ditahan reman sehingga dibawa semula ke Mahkamah Tinggi di South Island pada 5 April.
Tarrant dilihat tidak bercakap ketika tangannya bergari dan memakai pakaian penjara berwarna putih.
Peguam yang dilantik oleh mahkamah tidak membuat permohonan untuk ikat jamin, lapor Reuters.
Serangan tersebut yang disifatkan Perdana Menteri Jacinda Ardern sebagai tindakan keganasan, adalah pembunuhan paling tragis di New Zealand dan negara itu menaikkan tahap ancaman keselamatan tertinggi susulan kejadian.
Rakaman serangan ke salah satu masjid disiarkan secara langsung di Facebook, dan "manifesto" juga disiarkan dalam talian yang mengecam pendatang sebagai "penceroboh".
Rakaman video itu menunjukkan lelaki berkenaan memandu ke masjid, memasuki dan menembak secara rawak individu di dalam rumah ibadat itu.
Reuters tidak dapat mengesahkan ketulenan rakaman itu dan polis menggesa orang ramai supaya tidak melihat atau menyebarkannya.
Sementara itu polis berkata dua lagi turut ditahan susulan kejadian berkenaan.
Ardern berkata suspek utama adalah pemilik senjata api berlesen yang menggunakan lima senjata semasa serangan berkenaan, termasuk dua senjata separa automatik dan dua laras senapang.
"Saya boleh beritahu anda satu perkara sekarang, undang-undang senjata kami akan berubah," kata Ardern kepada wartawan sambil mengatakan larangan senjata separa automatik akan dipertimbangkan.
Tidak ada seorang pun yang ditahan mempunyai rekod jenayah atau berada dalam senarai senarai pemantauan di New Zealand atau Australia, lapor Reuters.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan