Naib Presiden Umno, Khaled Nordin mempersoalkan janji dalam manifesto pilihan raya Pakatan Harapan (PH) untuk mengukuhkan tadbir urus dan integriti dalam pentadbiran negara.
Ini selepas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad enggan menyerahkan jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) kepada wakil pembangkang.
"Adalah sangat mengecewakan, malah memalukan, sekiranya PH memutuskan untuk terus menerus mengabaikan manifesto dan janji PRU14 sehinggakan amalan yang bertujuan mengukuhkan ketelusan turut dipolitikkan.
"Bukankah PH sendiri yang sebelum ini menabur janji manis untuk mengukuhkan tadbir urus serta integriti dalam pentadbiran negara.
"Malangnya hari ini, perkara tersebut diketepikan sesedap rasa dan tidak diendahkan sama sekali. Sikap sebegini mesti dihentikan oleh kerajaan, "katanya dalam kenyataan.
Sehubungan itu Khaled berkata Umno menegaskan agar jawatan itu dikembalikan kepada pembangkang seperti dijanjikan.
Mahathir berkata janji PH supaya PAC diketuai pembangkang "hanya dasar dan bukan sebahagian daripada perlembagaan."
BN sebelum ini mencalonkan Anggota Parlimen Parit, Sulong Noraini Ahmad untuk mengambil alih jawatan tersebut.
Bagaimanapun, Mahathir berkata BN memerlukan sokongan majoriti jika mahu membuat pertukaran itu.
Mengulas lanjut, Khaled berkata perdana menteri memberikan maklumat tidak tepat apabila mengatakan perkara tersebut tidak termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan BN memerlukan sokongan majoriti untuk menggantikan pengerusi PAC sedia ada.
"Kedua-dua perkara tersebut adalah terpesong sama sekali. Sekalipun ia tidak dinyatakan secara termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, ini tidak sedikit pun bermakna yang amalan yang baik ini tidak patut diteruskan.
"Lebih- lebih lagi ini adalah janji dalam manifesto PH sendiri," tegasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan